Jaguh skuasy dunia bakal rebut gelaran Terbuka Malaysia

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 15, 2014 18:36 MYT
Pengerusi Penganjur, Huang Ying How bergambar bersama penaja dan atlit pada majlis sidang media tadi - Foto oleh Astro AWANI / Muhammad Harits Asyraf
Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Malaysia 2014 bakal menyediakan saingan hebat kepada jaguh-jaguh skuasy antarabangsa.
Ia menampilkan nama besar seperti jaguh negara Datuk Nicole David, Mohamed Elshorbagy dari Mesir dan Laura Massaro dari Britain dalam mengukuhkan 'ranking' dunia mereka.
Bagi pemain skuasy kedua kebangsaan, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, laluannya dalam kejohanan kali ini agak sengit.
Nafiizwan akan bertembung dengan pemain ketiga dunia, Mohamed El Shorbagy di pusingan awal pada 20 Ogos ini.
“Lawan saya adalah pemain dunia nombor 3, separuh akhir (Kejohanan) Terbuka Dunia tahun lalu, jadi saya tidak boleh nak mengharapkan terlalu tinggi.
“Tapi ini dikira kelebihan untuk diri saya, saya akan bermain dengan lebih ‘relax’.
“Kalau saya bagi banyak sangat tekanan untuk diri saya, saya pun rasa tidak boleh hendak beri yang terbaik. Jadi kita teruskan sahaja,” kata Nafiizwan.
Dia ditemui semasa majlis sidang media Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Malaysia 2014 di ibu negara pada Jumaat.
Hadir pada majlis ini, Pengerusi Penganjur, Huang Ying How, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Aset Peruncitan MRCB, Zetty Juyanty Rahim dan Pengurus Program Astro Arena, Azmy Abdul Rahman.
Kejohanan kali ini bakal menyaksikan sesuatu yang berbeza bila buat pertama kali, NU Sentral akan dijadikan sebagai venue perlawanan bertaraf dunia itu.
Johan kategori lelaki akan membawa pulang AS$8,055 (RM25,441) dan sebuah piala manakala johan kategori wanita pula AS$10,200 (RM322,166) beserta piala.
Kejohanan yang bakal bermula pada 18 Ogos itu akan ditaja CIMB, MRCB, Hyundai dan beberapa lagi penaja.
Astro Arena selaku penyiar rasmi akan bersiaran secara langsung menerusi definisi tinggi (HD) siaran 801 pada 22 dan 23 Ogos bagi perlawanan separuh akhir dan akhir.
#CIMB #Mohamed Elshorbagy #Nicol David #Skuasy #Terbuka Malaysia
;