Jaguh MMA dunia Miesha Tate sertai ONE Championship
Haider Yutim
November 8, 2018 15:10 MYT
November 8, 2018 15:10 MYT
Bekas juara MMA wanita dunia, Miesha Tate telah dilantik sebagai Naib Presiden promosi seni bela diri terbesar Asia, ONE Championship.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutifnya, Chatri Sityodtong pada Khamis.
“Adalah satu penghormatan dan keistimewaan bagi saya untuk mengumumkan bahawa jaguh dunia Miesha Tate telah menyertai ONE Championship sebagai Naib Presiden.
“Miesha merupakan perintis dalam sukan ini, dan telah memberi inspirasi kepada ramai anak-anak muda. Apa yang mengagumkan saya ialah sifat rendah dirinya, belas kasihan, rasa hormat yang tinggi, keberanian serta disiplinnya,” kata Sityodtong.
Tate dalam kenyataan responnya menyatakan rasa teruja untuk menyertai ONE Championship.
"Saya amat berbesar hati untuk membawa pengalaman saya sebagai juara dunia dan memberi inspirasi kepada generasi atlet yang akan datang.
"Dan sudah tentu, saya teruja untuk berpindah ke rumah baru saya, Singapura, dan menjelajah ke seluruh Asia!" kata atlet Amerika Syarikat berusia 32 tahun itu.
Tate bersara dengan rekod 18-7 dalam kerjaya 10 tahunnya dalam sukan MMA 10. Sama ada penyertaannya ini akan menyaksikan Tate beraksi kembali di gelanggang MMA, belum dipastikan lagi.
Dia kehilangan gelaran dunianya kepada petarung Brazil, Amanda Nunes di UFC 200, selepas tewas dalam pusingan pertama.
Tate mengumumkan persaraannya selepas kalah dengan Raquel Pennington di UFC 205 di New York, pada November 2016.
Miesha "Cupcake" Tate merupakan antara nama terbesar dan paling dikenali dalam industri seni mempertahankan diri.
Beliau adalah perintis seni mempertahankan diri campuran wanita.
#Chatri Sityodtong
#cupcake
#Miesha Tate
#MMA
#Naib Presiden
#ONE Championship
#seni bela diri campuran
#UFC