KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera Asia Tenggara Muhammad Irfan Shamsuddin bimbang kecederaan lamanya berulang, sekali gus berisiko menggugat peluang mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali kelima berturut-turut.

Muhammad Irfan, 25, mendapat kecederaan di kaki kiri, disyaki ligamen koyak seperti yang dialaminya dua tahun lalu, ketika giat menjalani latihan pada awal Februari lepas.

Menjelang temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam pada November depan, pemegang rekod lempar cakera kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m) itu berkata beliau mungkin perlu berehat selama enam bulan jika kecederaan itu disahkan serius.

"Saya pusing (untuk lempar) dan tumbang, sesuatu berlaku di tempat (kecederaan lama) itu, saya harap hanya perlu menjalani rawatan fisioterapi dan tidak lebih dari itu," katanya kepada Bernama.

Beliau kini menunggu laporan keputusan 'contrast' Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan di Universiti Putra Malaysia pada Selasa lepas sebelum meneruskan program latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Dua minggu sebelum temasya Sukan SEA di Filipina pada November 2019, Muhammad Ifran mengalami koyakan ligamen di kakinya.

Sementara itu, dengan tarikh tutup kelayakan ke Sukan Olimpik berakhir pada 29 Jun depan, Muhammad Irfan yang menduduki ranking ke-66 terbaik dunia ketika ini enggan memikirkan soal melakar rekod peribadi di Sukan SEA.

Sebaliknya, beliau yang sedang dalam proses membina semula kekuatan otot selepas pulih daripada jangkitan COVID-19 awal tahun lalu, hanya mahu fokus mendapatkan tubuh badan yang sihat serta bebas kecederaan sekali gus dapat bertanding pada tahap terbaik.

"Saya hanya boleh buat workout upper body kalau kecederaan ini serius dan sudah pasti tidak boleh berikan 100 peratus dalam latihan, kalau kita ingin beraksi dan mencapai prestasi puncak, kita mesti dalam keadaan kesihatan yang baik dahulu," tambah beliau.

-- BERNAMA