Jaguh kembali berentap pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka
Bernama
Julai 12, 2023 05:00 MYT
Julai 12, 2023 05:00 MYT
MELAKA: Atlet Jepun, Kakeru Nishiyama, Assel Kanay (Kazakhstan) dan Abdel Rahman Almasatfa (Jordan) menjadi antara juara bertahan bakal menjadi tumpuan pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula 21 hingga 23 Julai ini.
Kejohanan tersebut merupakan medan terbaik setiap atlet membuat persiapan menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China September ini dan Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, Oktober ini.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata keseluruhan sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.
"Jepun yang mengungguli pungutan pingat keseluruhan sebanyak 13 pingat (8 emas, 2 perak, 3 gangsa) pada edisi lepas di Uzbekistan pada Disember tahun lalu akan menghantar 23 atlet, Jordan 11 atlet dan Kazakhstan dengan seramai 19 atlet," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Rabu.
Nur Azmi berkata Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.
"Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat antara atlet dan pasukan pelbagai negara Asia malah dilihat sebagai platform mempromosi budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat dan negara yang bertanding.
"MAKAF amat menghargai sokongan dan berterima kasih kepada Persekutuan Karate Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) di atas kepercayaan diberikan bagi menganjurkan kejohanan ini di Melaka," katanya.
Beliau berharap orang ramai dapat hadir ke venue menyaksikan persaingan atlet merebut kejuaraan pada kejohanan tersebut.
-- BERNAMA