Jadikan SOPMA platform baiki prestasi atlet - Adenan
Bernama
September 30, 2016 22:22 MYT
September 30, 2016 22:22 MYT
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mahu Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) menjadi platform mengembalikan semula Malaysia sebagai antara nama besar dalam sukan warga pekak.
Beliau berkata Malaysia pernah mencatat kejayaan cemerlang di peringkat dunia dengan memenangi pingat pada Sukan Olimpik Orang Pekak (Deaflympics) dan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik, namun prestasi atlet kini dilihat tidak begitu memberangsangkan.
Beliau berkata satu perancangan yang holistik dan komprehensif perlu dilaksanakan untuk mengembalikan zaman kegemilangan dalam Sukan Deaflympics.
"Langkah diambil Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Sukan Warga Pekak bermula tahun ini, amatlah dialu-alukan dan bertepatan dengan masanya.
"Program yang akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat ini kelak diharap akan dapat melahirkan generasi baru sukan ini yang berbakat besar, berpotensi tinggi dan mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia.
"Semoga nama Sarawak dan Malaysia akan menjadi sebutan dengan kejayaan-kejayaan cemerlang yang bakal kita kecapi di peringkat antarabangsa," katanya.
Teks ucapan Adenan dibacakan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri Dr Abdul Rahman Ismail pada majlis perasmian SOPMA ke-19 di sini, malam ini.
Sarawak buat julung kali menjadi tuan rumah SOPMA ke-19, yang bermula hari ini sehingga 7 Okt.
Sebanyak 180 pingat emas menjadi rebutan 615 atlet daripada 12 kontinjen negeri di Malaysia, kecuali Negeri Sembilan dan Perlis. - BERNAMA