Jadi pemenang emas pertama Malaysia naikkan semangat saya - Shahmalarani
Bernama
Mei 6, 2023 20:30 MYT
Mei 6, 2023 20:30 MYT
PHNOM PENH: Tenang, namun penuh keazaman. Begitulah caranya pemenang sulung pingat emas Malaysia di Sukan SEA 2023 di sini, C.Shahmalarani, mengungguli acara bawah 50 kilogram (kg) kumite wanita.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekalahan kepada lawannya itu, Junna Tsuki, ketika tewas 1-5 dalam final Kejohanan Persekutuan Karate Asian Tenggara (SEAKF) di Phnom Penh, Mac lepas.
"Saya tidak bermula dengan baik tetapi jurulatih saya Tamel Adbelraof berpendapat atlet Filipina itu belum betul-betul bersedia dan minta saya manfaatkan ruang yang ada dan akhirnya saya berjaya mengikat kedudukan 1-1..
"Selepas 1-1, saya sangat yakin akan menang kerana daripada situ saya mula mengawal perlawanan," katanya.
Berbekalkan aksi yang lebih agresif sepanjang pertarungan dengan atlet berketurunan Filipina-Jepun itu, Shahmalarani dinobatkan sebagai juara, justeru mempertahankan pingat emasnya dalam acara yang diadakan di Chroy Changvar Convention Centre itu.
Sementara itu, S. Prem Kumar, yang merangkul emas kedua Malaysia -- hanya selang beberapa minit selepas Shahmalarani -- dalam acara bawah 55 kg kumite lelaki, tidak mahu terlalu terbuai dengan pencapaian hari ini.
Prem Kumar berkata misinya masih jauh, dengan fokus dan sasarannya pada acara berpasukan di sini serta Sukan Asia yang akan diadakan di Hangzhou, China pada September.
"Saya gembira berjaya dapat dua mata penting apabila saya terus menyerang lawan beberapa saat sebelum perlawanan tamat setelah ketinggalan 1-3. Usaha saya akhirnya berbaloi," katanya.
Meskipun berkongsi mata 3-3 dengan atlet Thailand Chanphet Setthaphong, emas menjadi miliknya selepas beliau meraih mata pertama dalam pertarungan akhir.
-- BERNAMA