Jackie Wong sasar pingat emas Sukan SEA 2017

Bernama
Jun 27, 2017 22:15 MYT
Atlet berusia 24 tahun dari Sarawak itu juga meletakkan sasaran balingan sejauh 66 meter pada temasya tersebut. - Gambar fail
Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer menyasarkan pingat emas acara tersebut pada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19-30 Ogos ini.
Atlet berusia 24 tahun dari Sarawak itu juga meletakkan sasaran balingan sejauh 66 meter pada temasya tersebut.
Terbaru, hari ini Jackie meraih pingat perak dan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 65.34m pada Kejohanan Olahraga Korea yang sekali gus memadamkan rekod lama miliknya iaitu 64.67m yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Bangkok pada 14 Jun lepas.
"Ini adalah kali ke-10 saya mencatat rekod kebangsaan, maka ia masih bukan garis penamat bagi saya. Saya akan terus berusaha untuk terus memperbaiki rekod peribadi saya.
"Saya amat bangga dengan keputusan hari ini kerana keputusan tersebut buat saya semakin dekat dengan pemegang pingat emas Sukan SEA Singapura iaitu sejauh 65.63m," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Katanya, beliau akan terus berusaha lagi ke tahap yang lebih tinggi supaya boleh mencapai keputusan terbaik Sukan SEA yang akan datang. - BERNAMA
#Bangkok #Jackie Wong Siew Cheer #Korea #Kuala Lumpur #Singapura #Sukan SEA
;