Jackie Wong atlet negara pertama sah positif COVID-19 - KBS

Isabelle Leong
Mac 16, 2020 17:44 MYT
Jaguh baling tukul besi tersebut telah pulang ke Sarawak pada 11 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sibu. - gambar fail
Atlet negara, Jackie Wong Siew Cheer menjadi atlet negara pertama yang disahkan positif COVID-19.
Menerusi satu kenyataan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican berkata Jackie, 28 tahun, dipercayai dijangkiti dari ayahnya yang didapati positif COVID-19 sebelum ini.
Jaguh baling tukul besi tersebut telah pulang ke Sarawak pada 11 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sibu.
“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet- atlet pelbagai acara sukan, saya mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet itu untuk ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian / sanitasi yang sepenuhnya.
“Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” kata Reezal dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, atlet-atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat dengan Jackie akan diasingkan dan dinasihati untuk kuarantin diri di asrama, menjalani ujian ‘screening dan menurut nasihat KKM yang selanjutnya.
Sebelum ini, Jackie memecah rekod kebangsaan negara sebanyak dua kali dan merupakan penyumbang pingat dalam acara baling tukul besi di Sukan SEA Filipina.
#baling tukul besi #coronavirus #COVID-19 #Hospital Sibu #Jackie Wong Siew Cheer #KBS #koronavirus #Reezal Merican Naina Merican #sukan
;