Jack Grealish selami kemanisan penampilan pertama
Astro Arena
September 16, 2021 09:53 MYT
September 16, 2021 09:53 MYT
MAN CITY 6 RB LEIPZIG 3
Jack Grealish amat gembira Manchester City mengungguli 6-3 RB Leipzig ketika menyinar membuat kemunculan pertamanya dalam Liga Juara-Juara (UCL), sebentar tadi.
Grealish yang dibeli dengan harga mahal daripada Aston Villa baru-baru ini memenuhi impiannya untuk beraksi dalam kejohanan utama Eropah itu.
Pemain antarabangsa England tersebut menandakan kemunculannya dengan gol dan bantuan jaringan untuk menjadi pemain Inggeris pertama sejak Wayne Rooney yang melakukannya bersama Manchester United ketika menentang Fenerbahce pada 2004.
Persembahan padunya itu membantu City melebarkan rentak tanpa kalah dalam 18 perlawanan di peringkat kumpulan, malah muncul kelab kedua terpantas merekodkan 50 kemenangan dalam 91 perlawanan -- tiga lebih banyak daripada Real Madrid.
Bercakap kepada BT Sport selepas perlawanan, Grealish jelas begitu bersemangat untuk bercakap tentang bagaimana lagu UCL jantungnya berdegup kencang.
"Saya menyukainya," kata Grealish.
"Saya sudah lama menantikan saat ini dan beberapa hari kebelakangan ini saya tidak sabar-sabar untuk perlawanan ini. Ini adalah satu malam yang hebat.
"Segalanya (yang berlaku). Pada akhirnya, kami gembira kerana mencetak kemenangan ke atas sebuah pasukan yang mantap dan penuh tenaga yang dibarisi ramai pemain muda. Saya secara peribadinya gembira merakamkan gol dan bantuan jaringan.
"Saya gembira dapat beraksi. Sebaik perlawanan dimulakan, saya seperti, 'kini saya bermain dalam UCL!' Dengan muzik dan segalanya, ia berasa sangat seronok dan pertembungan ini telah menyempurnakannya.
"Saya sempat memeriksa keputusan perlawanan lain (Club Brugge seri 1-1 dengan PSG) dan ia membuktikan apa sahaja yang boleh berlaku dalam UCL. Itulah sebabnya ini merupakan satu kejohanan yang luar biasa."
Ketika perlawanan berlangsung, kamera televisyen juga merakamkan Grealish sedang menerima arahan daripada pengurusnya, Pep Guardiola.
Grealish mendedahkan pengurus dari Sepanyol berkenaan dengan bersemangat memberitahunya bagaimana untuk membantu pasukan ketika bertahan, dan penyerang tersebut menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan pendekatan seperti itu dan sedia menuruti arahan Guardiola yang pernah mengecapi deretan kejayaan dalam kejohanan ini.
"Arahan itu berkaitan cara bertahan," katanya mengenai arahan tegas yang diberikan Guardiola.
"Saya tidak akan mengulas terlalu banyak mengenai kerana barangkali dia (Guardiola) mahu menggunakan taktik yang sama pada hujung minggu ini.
"Begitulah seorang pengurus, dia sentiasa menginginkan pemainnya lebih bertahan dan menyerang. Dia adalah seseorang yang akan saya patuhi arahannya atas segala yang dicapainya. Dia menyalurkan maklumat yang berguna."