Izat Zaki wakil tunggal negara ke acara Lethwei antarabangsa

Hilmi Ismail
Ogos 1, 2019 15:03 MYT
Lebih dikenali sebagai Izat Zaki, ini merupakan kali pertama Izat bertempur dalam kejohanan Lethwei. - Foto Astro AWANI
Rakyat Malaysia amat dekat dengan sukan tempur atau seni mempertahankan diri seperti silat, taekwondo mahupun Muay Thai.
Namun jarang sekali kita mendengar tentang sukan tempur Lethwei. Berasal dari Myanmar, Lethwei sering dianggap sebagai sukan tempur yang paling agresif dan ganas di dunia.
Walaupun Lethwei tidak begitu popular di Malaysia, ia tidak menghalang petarung muda negara, Mohd Fazzatkie Zaki untuk bersaing di dalam acara anjuran World Lethwei Championship (WLC).
Lebih dikenali sebagai Izat Zaki, ini merupakan kali pertama Izat bertempur dalam kejohanan Lethwei.
"Rasa sangat bangga sebab bukan mudah hendak mewakili Malaysia. Rasa gementar tu ada sebab saya bawa nama Malaysia", kata Izat kepada Astro AWANI.
Baru berusia 20 tahun, latar belakang Izat dalam sukan tempur sangat luas terutamanya dalam sukan Muay Thai.
"Saya sudah tiga tahun ceburkan diri dalam sukan Muay Thai, sejak SPM lagi. Ibu bapa pada mulanya tidak suka. Tapi bila tengok saya mula menang, mereka bagi sokongan", tambah Izat lagi.
Pada acara Lethwei yang akan datang, Izat dijadualkan bertemu dengan petarung dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat.
Izat ternyata yakin bagi pertarungan ini selepas dia membuat "ulang kaji" terhadap lawannya.
"Saya dah tengok dia main (bertarung) macam mana. Saya dah 'study' dah. Saya harap dapat kalahkan juara Vietnam ni. Kalau ada rezeki, boleh naikkan nama Malaysia," kata Izat.
Acara WLC: King of Nine Limbs akan berlangsung pada esok (Jumaat), bermula jam 5:30 petang bertempat di Stadium Tertutup Mandalar Thiri, Mandalay City, Myanmar.
#Izat Zaki #King of Nine Limbs #lethwei #Mohd Fazzatkie Zaki #Muay Thai #Myanmar #Nguyen Tran Duy Nhat #seni bela diri #seni mempertahankan diri #silat #sukan tempur #taekwondo #WLC #World Lethwei Championship
;