Ivan, Wee Wern mara ke final kejohanan skuasy universiti dunia

Bernama
September 7, 2016 23:01 MYT
Pilihan pertama pemain skuasy wanita negara Wee Wern Low (depan) ketika beraksi menentang pemain senegara Nazihah Hanis Abd Razak pada saingan suku akhir Kejohanan Skuasy Universiti Dunia 2016 di Pusat Skuasy Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Malaysia hanya selangkah lagi untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Skuasy Universiti Dunia apabila Ivan Yuen dan Low Wee Wern, masing-masing menempah tiket ke pentas final perseorangan lelaki dan wanita, esok.
Ivan memastikan cabaran negara dalam aksi final perseorangan lelaki apabila menewaskan Joshua Masters dari England 11-7, 12-10, 12-14 dan 11-5 dalam pertarungan selama 52 minit, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
"Saya berasa sangat puas kerana berjaya menewaskan dia (Joshua) dan memadamkan rekod pertemuan lepas apabila saya tewas kepadanya di Kejohanan Jelajah PSA di New Zealand tiga bulan lepas," kata Ivan kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Pentas final esok, akan menemukan Ivan dengan pemain pilihan utama kejohanan dari Hong Kong, Tsz Fung Yip, yang terdahulu menewaskan rakan senegaranya, Chi Him Wong 11-2, 8-11, 11-5 dan 11-7.
"Perlawanan esok bakal menjadi pertarungan yang sengit kerana dia (Fung Yip) seorang pemain yang bagus dan tangkas. Bagaimanapun, saya akan memberi yang terbaik untuk meraih emas buat skuad negara," kata Ivan.
Sementara itu, Wee Wern, pilihan utama dalam acara perseorangan wanita, menepati ramalan menempah tiket ke pentas final selepas lawannya yang juga rakan senegara, Nazihah Hanis Abd Razak terpaksa menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.
Wee Wern bermula cemerlang pada set pertama apabila menundukkan Nazihah 11-5.
Namun pada set kedua, Nazihah Hanis tergelincir dan menyebabkan kecederaan 'hamstring' kaki kanannya ketika cuba membalas serangan Wee Wern.
Perlawanan dihentikan ketika Wee Wern sedang mendahului 7-5 dan Nazihah Hanis terpaksa menarik diri kerana tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan itu.
"Malangnya Nazihah mengalami kecederaan di set kedua, pada set pertama dia cuba untuk mencari rentak namun saya dapat mengawal permainan dan memenangi set itu," kata Wee Wern.
Wee Wern bakal bertemu pemain pilihan kedua, Tsz Wing Tong untuk penentuan pingat emas perseorangan wanita selepas pemain Hong Kong itu menewaskan Nada Mohamed Mahmoud dari Great Britain 11-4, 11-4 dan 11-3.
"Untuk aksi final esok, saya mempunyai masa yang cukup untuk berehat kerana perlawanan hari ini (separuh akhir) ditamatkan awal dan tidak menggunakan tenaga yang banyak kerana penarikan diri Nazihah," katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada kejohanan itu adalah menerusi Lim Yoke Wah dalami acara perseorangan wanita pada 2006.
Sementara skuad berpasukan campuran negara meraih pingat gangsa pada 2008 dan 2014.
#Ivan Yuen #Kejohanan Skuasy Universiti Dunia #Low Wee Wern #Skuasy
;