Isyarat tsunami kepada FAM

Sinar Harian
September 3, 2024 08:20 MYT
Lautan penyokong Harimau Malaya mungkin tidak kelihatan pada kejohanan Pestabola Merdeka kali ini. - Foto FAM/Sinar Harian
TINDAKAN peminat yang dilihat memboikot aksi Pestabola Merdeka merupakan isyarat jelas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada dalam badan induk bola sepak negara.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, peminat sudah muak dengan segala drama dan masalah dalam FAM yang masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Menurutnya, isu Pan-gon meletakkan jawatan pada Julai itu merupakan 'percikan api' yang membawa kepada 'kebakaran' lebih besar terhadap masalah yang sudah timbul sejak sekian lama.
"Penyokong nampak, apa-apa sahaja isu panas yang berlaku sebelum ini tidak mendapat penyelesaian sewajarnya daripada FAM.
"Itulah sebabnya peminat memboikot dan sebenarnya ia lebih kepada nak memberikan amaran atau satu isyarat kepada FAM.
"Ia bukan hanya kerana isu Pan-gon sahaja tetapi isu secara menyeluruh dengan pelbagai rentetan masalah terutama kegagalan skuad kebangsaan kita.
*
"Kenaikan ranking atau layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun itu bukan ukuran kejayaan yang sepatutnya diraikan dan peminat tahu skuad kebangsaan perlu pergi lebih jauh daripada yang ada sekarang," katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Ahad, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Datuk Posa Majais memaklumkan tidak sampai 1,000 keping tiket aksi Pestabola Merdeka melibatkan aksi Harimau Malaya menentang Filipina yang akan berlangsung pada Rabu ini telah terjual.
Sebelum ini, Ultras Malaya dan beberapa Ultras negeri bertindak untuk memboikot aksi kejohanan tertua di Asia itu susulan dakwaan beberapa faktor antaranya isu peletakan jawatan Pan-gon dan kecelaruan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam saingan Liga Malaysia.
Menurut Pekan, FAM perlu sedar dengan penolakan oleh peminat ketika ini dan cuba untuk mengatasi perkara tersebut agar ia tidak berlarutan.
"Ia sebagai satu petanda yang FAM perlu sedar apa yang dituntut oleh peminat ataupun kelab penyokong yang ada di negara kita ini.
"Jangan kita salahkan kelab penyokong, tetapi perlu tanya kepada FAM itu apa jawapan yang sesuai untuk menyedapkan hati peminat.
"Saya nampak kepimpinan FAM ini tidak mahu menerima kelemahan yang diperkatakan menyebabkan peminat mula marah dengan sikap mereka," katanya. - Sinar Harian
#Pestabola Merdeka #boikot #Pekan Ramli #FAM
;