Isu Uighur: Kerajaan China dakwa Ozil 'ditipu berita palsu'

Nailah Huda
Disember 16, 2019 07:52 MYT
Mesut Ozil dalam perlawanan menentang Everton pada 13 Disember 2016. Foto - REUTERS
KERAJAAN China mendakwa bintang bola sepak Arsenal, Mesut Özil ‘ditipu oleh berita palsu’ berhubung kritikan beliau terhadap layanan kepada masyarakat etnik minoriti Uighur.
Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang pada Isnin berkata Özil mungkin terpedaya dengan laporan tidak benar itu.
“Ia seolah-olah dibutakan dan ditipu oleh laporan palsu dan perkara yang tidak benar," kata Geng Shuang.
Beliau turut menjemput Özil untuk melawat dan melihat sendiri Xinjiang yang “menikmati kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial.”
Pada Jumaat, bintang berketurunan Turki itu mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial yang mendakwa umat Islam hanya berdiam diri berhubung penindasan etnik Uighur di China.
BACA: Ozil kritik umat Islam abaikan etnik Uighur
“Quran dibakar. Masjid ditutup. Sekolah teologi Islam, madrasah diharamkan. Ulama dibunuh seorang demi seorang. Namun begitu, umat Islam semua berdiam diri,” katanya dalam kenyataannya yang berbahasa Turki.
“Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu sendiri adalah satu penganiayaan? Saidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, ‘Sekiranya anda tidak boleh elak penganiayaan, dedahkannya,” tegas Özil.
Susulan itu, perlawanan Arsenal menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris pada Ahad tidak disiarkan secara langsung oleh siaran rasmi kerajaan China, CCTV.
BACA: Siaran Arsenal di China ditarik susulan komen Ozil
Laporan turut mendapati bahawa beberapa penyokongnya bertindak membakar jersi Ozil yang dirakam dan dimuat naik ke laman sosial China, Weibo.
Di samping itu, peminat yang tidak berpuas hati turut meninggalkan komen pada akaun Instagram miliknya yang berbaur kebencian.
Antaranya menyatakan, “Sayang China. Xinjiang adalah milik China. Saya kecewa dengan Ozil” selain komen lain yang membandingkannya dengan binatang.
Pada tahun lepas, seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan yang menuduh China telah menahan secara paksa kira-kira sejuta umat Islam di kem ‘pendidikan dan latihan vokasional’ di Xinjiang.
Seorang pegawai pentadbiran kerajaan Xinjiang pada awal bulan ini mendakwa semua yang dikatakan ditahan di kem tersebut merupakan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional dan telah lulus program mereka.
Namun begitu, golongan aktivis mempersoalkan kebenaran di sebalik kenyataan itu kerana tiada perincian diberi, misalnya mengenai jumlah tahanan atau pelajar yang terlibat, jumlah kem latihan serta apa yang berlaku selepas mereka keluar.
#Arsenal #China #Liga Perdana Inggeris #Mesut Ozil #Turki #Uighur #Xinjiang
;