Isu tuntutan bekas pemain import Perak, agen selesai
Abd Razak Mohd Ali
September 1, 2021 16:03 MYT
September 1, 2021 16:03 MYT
IPOH: Perak FC telah berjaya menyelesaikan isu berkaitan tuntutan bekas pemain import dan agen mereka.
Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, gaji semua pemain juga telah diselesaikan dan tiada sebarang tunggakan mengenai isu itu.
Menurutnya, Perak FC telah menyelesaikan tuntutan pemain yang berasal dari Korea Selatan, Jeon Hyo-seok secara ansuran dengan bayaran pendahuluan telah pun dibuat baru-baru ini.
“Tuntutan dua bekas pemain dari Brazil, Leandro Dos Santos Leo dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) untuk gaji bulan Mei dan Jun juga telah dibayar sebelum 31 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata, tuntutan agen kepada Leandro Dos Santos Leo, Raianderson Da Costa Morais dan Guilherme de Paula pula akan dibuat secara ansuran mulai bulan hadapan, setelah Perak FC berunding agen ketiga-tiga pemain dari Brazil itu.
“Perak FC ingin menjelaskan bahawa penyelesaian ini perlu dilakukan kerana ia berkaitan dengan lesen kelab.
“Kegagalan membuat penyelesaian akan menyebabkan Perak FC tidak akan diberi lesen untuk menyertai Liga Super pada tahun hadapan,” ujarnya.
Selain dari itu, katanya, isu-isu yang berkaitan seperti dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga perlu dikemaskini dan Perak FC sudah membuat perbincangan dengan agensi-agensi berkenaan.
Menurutnya, Perak FC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kerana banyak membantu mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan segala tuntutan.