Isu tunggakan gaji: Pemain Melaka hilang motivasi
Bernama
April 6, 2022 12:30 MYT
April 6, 2022 12:30 MYT
MELAKA: Masalah gaji tertunggak yang menghantui pasukan Melaka United FC dilihat menjejaskan prestasi pemain apabila hilang motivasi untuk bermain dan terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 kepada Sabah di laman sendiri dalam perlawanan Liga Super malam tadi.
Ketua Jurulatih Melaka United Risto Vidakovic berkata anak buahnya telah melakukan yang terbaik mengikut rancangan perlawanan, tetapi mereka kelihatan tertekan dengan situasi yang menimpa skuad Sang Kancil itu.
"Kami mempunyai sedikit masalah dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu untuk bekerja dengan baik dalam situasi ini dan jika kami tidak dapat bekerja dengan baik, anda tidak boleh mengharapkan apa-apa kerana ia adalah situasi sukar buat kami.
"Sebagai jurulatih, saya tidak pernah berdepan situasi ini sebelum ini dan ini kali pertama. Sukar untuk saya berkata apa-apa kepada pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk pasukan ini dan perlawanan malam ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.
Terdahulu pada aksi di Stadium Hang Jebat, Sabah berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-25 menerusi pemain import dari Korea Selatan Park Taesu dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, Vidakovic berkata beliau berharap pihak pengurusan dapat menyelesaikan isu itu secepat mungkin dan berharap semua pemain dapat memberikan persembahan terbaik pada perlawanan seterusnya menentang KL City FC, Sabtu ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC (The Rhinos) Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan selepas menewaskan lawan bagi memastikan pasukannya kekal di landasan yang betul.
Katanya, pemain mempamerkan saingan sengit dalam aksi itu selain mempunyai empat hari sebelum menghadapi perlawanan seterusnya menentang Sarawak di gelanggang lawan di Stadium Negeri, Kuching.
Dengan kemenangan ke atas Melaka, Sabah FC yang mengumpul enam mata melonjak ke tangga ketiga kedudukan Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).
-- BERNAMA