Isu tular: Perak FC kecewa tindakan Teong Kim

Abd Razak Mohd Ali
April 7, 2023 14:27 MYT
Pada Rabu, SAM menzahirkan kekecewaan terhadap cara Teong Kim menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan JDT. - Gambar/ Media sosial
IPOH: Perak FC menzahirkan rasa kecewa dengan cara ketua jurulatih pasukan itu, Datuk Lim Teong Kim, menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada Selasa malam.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata mereka mengambil iktibar daripada insiden itu yang telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Dalam masa sama, beliau memohon maaf kepada petugas media, termasuk Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) berhubungan kejadian itu.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengamal media bahawa Kelab Bola Sepak Perak amat menyokong peranan yang dilakukan rakan media dan memahami kekecewaan yang dialami dengan kejadian yang telah berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
BACA: SAM kecewa cara Teong Kim santuni petugas media selepas kekalahan Perak
Beliau menegaskan, satu siasatan dalaman sedang dilakukan, mengikut dasar serta polisi kelab.
Menurutnya, jika perlu, tindakan tatatertib akan diambil dalam masa terdekat.
"Kami mengambil perhatian bahawa semasa perlawanan berintensiti tinggi, emosi pastinya memuncak dan kami berharap ini adalah insiden terpencil, tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memohon kepada pihak media untuk terus membuat liputan membabitkan Perak FC seperti yang telah dilakukan selama ini.
Pada Rabu, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menzahirkan kekecewaan terhadap cara Teong Kim menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan JDT.
Presidennya, Norismadi Abd Manap berkata, Teong Kim seorang jurulatih yang memiliki pengalaman luas di Eropah, namun bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan mudah yang dilontarkan penolong penerbit stesen televisyen swasta kepadanya sejurus perlawanan tamat.
Dalam pertembungan di Ipoh itu, JDT membelasah Perak 5-0 sekali gus menyaksikan anak buah Teong Kim mencatat kekalahan ketiga berturut-turut.
Kekalahan itu dilihat mempengaruhi emosi Teong Kim yang menunjukkan reaksi kurang mesra terhadap penolong penerbit bertugas semasa sesi temu bual yang disiarkan secara langsung selepas perlawanan, termasuk meminta pengamal media berkenaan melakukan penilaian serta mencari jawapan sendiri berhubung soalannya.
Perak ketika ini berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul lima mata selepas hanya berjaya merakam satu kemenangan dan dua seri dalam keseluruhan tujuh perlawanan.
#Teong Kim #tular di media sosial #Perak FC #JDT #marah
;