Isu tajaan, pegawai pengiring tidak jejas fokus 'Super Kip'

Bernama
Ogos 2, 2016 21:07 MYT
Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Super KIP' berkata beliau tidak berdepan sebarang masalah kewangan kerana pasukannya telah menguruskan hal kebajikan dengan baik sepanjang musim ini. - Gambar fail
Isu penajaan dan pegawai pengiring langsung tidak menjejaskan fokus pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dalam mempersiapkan diri menghabiskan baki sembilan perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Bagi pelumba berusia 18 tahun itu, tumpuan hanya akan diberikan kepada tugasnya selaku pelumba negara yang mewakili Honda Team Asia.
Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Super KIP' berkata beliau tidak berdepan sebarang masalah kewangan kerana pasukannya telah menguruskan hal kebajikan dengan baik sepanjang musim ini.
"Bagi diri saya sendiri tiada masalah, saya buat kerja saya (sebagai pelumba), untuk diri saya, pasukan Honda sudah menaja saya sepenuhnya dan sudah cukup untuk saya.
"Cuma mungkin ayah saya yang risau...saya tidak ada masalah untuk pergi seorang di sana (setiap perlumbaan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketika ini, Khairul Idham mempunyai pegawai pengiring yang dikenali sebagai Cik Mat, yang banyak membantunya untuk memberi tumpuan penuh dalam menghadapi perlumbaan.
Mengulas tentang prestasinya musim ini, Khairul Idham berkata pencapaian dua kejuaraan di Litar Argentina pada April lepas, dan baru-baru ini di Litar Jerman adalah kejayaan yang tidak diduga.
"Saya anggap kemenangan itu rezeki saya, namun banyak lagi yang perlu saya belajar...pelumba lain lebih berpengalaman," kata pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak yang akan beraksi di Austria bermula 14 Ogos ini.
Khairul Idham berkata beliau tidak meletakkan sasaran yang tinggi di Litar Austria, namun akan memberikan saingan sengit seperti sebelum ini.
Beliau berkata kerjasama serta komunikasi baik dalam satu pasukan amat penting dalam menyediakan jentera yang baik sebelum hari perlumbaan.
"Saya dan mekanik sekarang sudah lama bekerjasama, jadi kami tidak mempunyai masalah komunikasi, setakat ini semua berjalan lancar, hubungan saya dan semua mekanik juga baik," katanya.
Selepas lapan perlumbaan dengan dua kejuaraan, Khairul Idham kini berada di tangga ke-10 terbaik dunia dengan 54 mata.
#Isu penajaan dan pegawai pengiring tidak jejas fokus pelumba Moto3 negara #Khairul Idham Pawi #MotoGP
;