Isu taja TRW: Saya kata jangan pikul 'biawak hidup' - Vida

Vivi Sumanti
Mei 7, 2019 04:38 MYT
Bibi (gambar) dilaporkan bersedia melepaskan jawatan sebagai Presiden Kafa selepas terdapat tekanan dari pelbagai pihak supaya beliau berbuat demikian. - Foto fail
Bekas penaja pasukan Kelantan, The Red Warriors, TRW, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida menasihatkan sesiapa yang ingin menerajui TRW atau mengambil alih pasukan bola Kelantan perlu bersedia sepenuhnya dari segi kewangan yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam menjaga pengurusan bola itu.
Bercakap kepada Astro AWANI di Kelantan, Vida mengakui dirinya hampir muflis sewaktu menaja TRW dahulu kerana banyak dilaburkan namun kesan kepada penjualan produknya tidak ke mana.
“Mau tak muflis, nak suruh saya taja sangat, produk saya tak nak beli. Nak nafas ko mana kalau tak beli produk kita. Kalau nak maju bola sepak sokong juga produk saya kita hok jong tubik pitis (kita yang keluarkan duit) ini lagumana” katanya dalam satu temuibual bersama Astro AWANI.
Ketika diminta melontarkan pandangan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan, Vida menasihatinya supaya memikirkan semasak-masak kerana sebagai ahli perniagaan, bolasepak bukannya tempat sesuai untuk melabur dan mengharapkan pulangan kepada perniagaan.
“Mengenai Bibi Datuk yang menerajui Kafa (soalan)…ada lagi ko Bibi tu… pandangan saya kalau nelang (handal) pikulkah …saya kata 'Jangan pikul Biawak Hidup', mungkin saya tengok penukaran pemain. Saya tak ikuti perkembangan pemain, dulu minat sayang loni kalau sayang sahaja tak cukup, kena bagi kena belai so gitu lah dengan bola. Namun kalau nak cari platform dalam bisnes, bola sepak bukan pilihan. Pada saya tak ada nak maintain susah, saya sendiri dan berbelas juta abis ko bola” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Bibi bersedia melepaskan jawatan sebagai Presiden Kafa selepas terdapat tekanan dari pelbagai pihak supaya beliau berbuat demikian.
Kafa juga ketika ini mengalami pelbagai isu antaranya kegagalan membayar gaji, dan terbaharu pemotongan mata sehingga menyaksikan skuad terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu berada dalam kelompok terbawah Liga Premier.
Sebelum ini usahawan wanita itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018 hingga 2021 pada Kongres Tahunan KAFA ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meletak jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.
#Annuar Musa #Bibi Ramjani Ilias Khan #bola sepak #Datuk Seri Vida #Hasmiza Othman #Tajaan #The Red Warriors
;