Isu penyelewengan: Pegawai kanan KBS salah guna prosedur - Khairy

Tan Su Lin
Mac 21, 2016 11:18 MYT
Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam. - Gambar fail
Menteri Belia dan Sukan hari ini mengesahkan penangkapan seorang pegawai kanan dari kementeriannya yang dipercayai mendalangi sindiket penyelewengan dana mencecah RM20 juta, baru-baru ini.
Khairy Jamaluddin berkata perbuatan rasuah yang didakwa sudah lama berterusan itu menunjukkan kakitangan kementerian itu telah menyalahguna prosedur yang tidak memerlukan kelulusan pegawai atasan termasuk Menteri atau Ketua Setiausaha.
"Tidak, saya tidak menyedari perkara ini," kata Khairy ketika ditanya wartawan jika beliau menyedari isu penyelewengan itu sudah lama berterusan.
Menurutnya, susulan penahanan itu satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelemahan dalam prosedur kewangan dalaman kementeriannya.
Tambahnya, langkah itu bagi menambah baik proses dalaman KBS bagi mengelak salah guna kuasa yang boleh menjurus kepada rasuah.
"Satu semakan segera terhadap segala mekanisme dalaman dam proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di KBS akan dilaksana.
"Bagi tujuan ini saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara berkenaan penubuhan sebuah pasukan siasatan bebas untuk mengenalpasti kelompongan dan menambah baik proses dan prosedur kewangan dalam KBS.
BACA: SPRM tahan pegawai kanan kementerian terima rasuah cecah RM20 juta
Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pegawai kanan kementerian itu merupakan antara sembilan individu termasuk seorang wanita yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Tiris Jumaat lepas.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar dalam satu temuramah dengan Astro AWANI hari ini berkata setiap kementerian perlu mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
#Khairy Jamaluddin #Pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan kenal pasti kelemahan dalam prosedur kewangan dalaman KBS #SPRM
;