Isu penamatan kontrak: FAM tolak rayuan KFA, Akhyar kekal bayar RM210,000
Astro Awani
Disember 27, 2018 19:04 MYT
Disember 27, 2018 19:04 MYT
JAWATANKUASA Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi mesyuarat kali ketiga penggal 2017-21 hari ini memutuskan rayuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkenaan penamatan kontrak seperti yang dimohon pemain tengah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, melalui tebus kontrak, ditolak badan induk itu.
Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Status FAM melalui mesyuarat pada 3 dan 4 Disember lalu, Astro Arena melaporkan, tuntutan Akhyar untuk menamatkan kontraknya melalui tebus kontrak diterima sepenuhnya jawatankuasa itu.
Sehubungan itu, beliau dibenarkan untuk menebus kontraknya dengan KFA melalui bayaran tebus kontrak RM210,000.
Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baru yang menandatangani kontrak dengan pemain itu dikehendaki membayar RM75,000 kepada KFA sebagai nilai pampasan latihan.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan FAM sebentar tadi, jumlah nilai pampasan yang ditetapkan itu bukan ditetapkan secara sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.
Jumlah RM210,000 itu berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA.
Ia berdasarkan Artikel 15A FAM: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.
Jumlah RM75,000 pula berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengikut Artikel 8 badan induk itu: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.
Jumlah RM75,000 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan buat KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak.
Secara keseluruhan, KFA akan menerima RM285,000.
Sebelum ini, KFA tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang telah diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM tersebut dan membuat rayuan kepada FAM untuk meningkatkan pampasan.
Akhyar, dinobat penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 bulan lepas, masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Hijau Kuning sehingga akhir 2019.
Beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perlis dikatakan berminat untuk mengikat pemain kelahiran Alor Setar itu.
#Akhyar Rashid
#baki kontrak
#bayaran tambahan
#bola sepak
#FAM
#FIFA
#gaji
#Jawatankuasa Rayuan
#KFA
#kos latihan
#Muhammad Akhyar Abdul Rashid
#pampasan
#Persatuan Bolasepak Kedah
#Persatuan Bolasepak Malaysia
#tamat kontrak
#tebus kontrak