Isu Lim Teong Kim: Tiada keputusan dicapai
Sinar Harian
Ogos 3, 2023 12:40 MYT
Ogos 3, 2023 12:40 MYT
IPOH: Proses rundingan damai di antara bekas Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim dengan pengurusan Perak FC menemui jalan buntu apabila tiada sebarang keputusan dicapai dalam perbincangan yang berlangsung di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Perak di sini pada Khamis.
Teong Kim yang ditemui pemberita memaklumkan perbincangan dilakukan bersama Ketua Pegawai Operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmood dan pihak JPPM Perak.
Menurutnya, jika tiada sebarang kata putus, Mahkamah Perusahaan akan menjadi jalan terakhir untuk penyelesaian kes tersebut.
"Apa yang tak tercapai itu saya tak boleh maklumkan butirannya kerana tidak boleh dinyatakan. Namun akan ada lagi satu pertemuan sebelum 26 Ogos ini.
"Jika ketika itu masih lagi tidak mencapai persetujuan, kes ini akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan. Cuma kalau boleh kami tak mahu sampai mahkamah dan harap capai perdamaian," katanya yang ditemui di JPPM Perak, Bangunan Persekutuan Negeri Perak hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, pihaknya menghormati hak Teong Kim namun kekal dengan pendirian sendiri.
Menurutnya, Perak FC akan akur dengan sebarang proses yang ditetapkan oleh JPPM dan bersedia jika perkara tersebut dibawa ke mahkamah.
"Dia (Teong Kim) ada hak buat apa yang dia nak dan kita kekal dengan pendirian kita. Dia boleh buat apa yang dia fikir betul dan kita dah berbincang dua kali, jadi kita terus ke depan.
"Kita juga mahukan benda yang sama iaitu selesai secara perdamaian dan pihak pengurusan akan ikut ketetapan," katanya.
Pada 27 Jun lalu, Teong Kim memfailkan representasi dengan JPPM Perak berhubung penamatan kontrak secara salah dan tuntutan baki 16 bulan gajinya.
Teong Kim bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han memfailkan tuntutan itu selepas dipecat pada Mei lalu setelah lapan bulan berkhidmat dengan pasukan berkenaan. - Sinar Harian