Isu khidmat jurulatih wushu selesai, Yongsheng mula tugas hujung Julai

Bernama
Jun 11, 2023 16:11 MYT
Chong Kim Fatt berkata surat tawaran lantikan sudah dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan khidmat Yongsheng yang dinanti-nantikan itu, ketika ini hanya menunggu proses kelulusan di China selesai. - Fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) boleh menarik nafas lega selepas hanya menunggu masa untuk mengumumkan secara rasmi kehadiran jurulatih sepenuh masa dari China, Zhang Yongsheng.
Presidennya Datuk Chong Kim Fatt berkata surat tawaran lantikan sudah dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan khidmat Yongsheng yang dinanti-nantikan itu, ketika ini hanya menunggu proses kelulusan di China selesai.
Kim Fatt berkata Yongsheng yang ditawarkan kontrak dua tahun, dijangka memulakan tugas di sini pada penghujung Julai, bagi membantu persediaan kem wushu negara menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual bermula September ini.
"Kita ada atlet yang berpengalaman dan perlukan seorang jurulatih khusus untuk tuning saja, kerana masa terlalu singkat (menjelang Sukan Asia 2022). Jadi kita tidak benarkan dia (Yongshen) menukar rutin atlet, perkara itu boleh memeningkan mereka.
"Balik dari Sukan Asia 2022 baru kita akan ikut program jurulatih untuk tempoh dua tahun, untuk Sukan SEA 2025 dan 2027 serta Sukan Asia seterusnya, kita boleh tengok perbezaannya," katanya kepada Bernama, di sini.
Mengulas lanjut, Kim Fatt berkata pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan khidmat jurulatih sepenuh masa sejak dua tahun lepas.
Skuad negara sebelum ini dibimbing jurulatih berpengalaman dari Malaysia Lim Yew Fai, yang kemudian melepaskan jawatannya itu pada awal Januari lepas.
Sementara itu, beliau berkata kem negara mengintai peluang untuk meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat di Hangzhou, selepas Malaysia kemarau pingat acara wushu sejak Chai Fong Ying memenangi emas pada edisi 2010 di Guangzhou.
"Di Hangzhou ada lapan acara taolu, berdasarkan rekod China akan menyapu 80-90 peratus emas, biasanya daripada lapan acara, mereka akan menang enam atau tujuh. Bagi WFM, kita membuat persediaan rapi untuk Sukan Asia seterusnya, kali ini kita sasar satu atau dua pingat saja," katanya.
Sebagai rekod, Yongsheng membantu Indonesia meraih 10 pingat emas acara taolu pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2022.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja bulan lepas, rata-rata negara yang mendapatkan khidmat jurulatih dari China dilihat mendominasi acara dipertandingkan, namun Malaysia tetap berjaya meraih dua emas menerusi juara dunia 2019, Tan Cheong Min yang mengungguli saingan nandao+nangun dan nanquan wanita.
Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual bermula dari 23 Sept sehingga 8 Okt ini.
-- BERNAMA
#Persekutuan Wushu Malaysia #jurulatih wushu #Zhang Yongsheng #Majlis Sukan Negara
;