ISTAF mulakan prosiding tatatertib terhadap Presiden PSTAI kerana cemar reputasi

Bernama
September 7, 2024 21:09 MYT
ISTAF meluluskan prosiding tatatertib terhadap Tanchanco-Caballero dalam satu mesyuarat di Korat, Thailand pada Jumaat lepas. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memulakan prosiding tatatertib terhadap Presiden Pilipinas Sepaktakraw Association Inc (PSTAI) Karen Tanchanco-Caballero atas pelbagai pelanggaran perlembagaan dan prosedur disiplin ISTAF.
ISTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa eksekutif badan induk global itu meluluskan prosiding tatatertib terhadap Tanchanco-Caballero dalam satu mesyuarat di Korat, Thailand pada Jumaat lepas.
Tanchanco-Caballero menghadapi lima pertuduhan berasingan berkaitan tindakan yang dianggap mencemarkan standard etika dan reputasi ISTAF.
"Tuduhan ini termasuk kenyataan awam dan tingkah laku yang didakwa melanggar prinsip tadbir urus dan integriti ISTAF," menurut kenyataan itu yang menambah Tanchanco-Caballero telah digantung daripada semua tugasnya baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa, sehingga diberitahu kelak.
"Penggantungan ini bertujuan memelihara integriti prosiding dan mengekalkan standard tinggi yang dijangkakan daripada kepimpinan antarabangsa sepak takraw," menurut kenyataan itu.
ISTAF turut memaklumkan secara rasmi kepada Setiausaha Agung PSTAI Irene Virginia Ng-Tanchanco mengenai pertuduhan terhadap Tanchanco-Caballero selaras dengan komitmen ISTAF terhadap ketelusan dan meminta PSTAI menyatakan pendirian mengenai tindakan presiden persatuan itu.
-- BERNAMA
#ISTAF #presiden PSTAI #Karen Tanchanco-Caballero #prosiding tatatertib
;