Ismail: Kongres Agung dipercepat, KAFA cari presiden baharu

Astro Arena
Ogos 16, 2017 13:06 MYT
Tan Sri Annuar Musa (gambar) melepaskan jawatan presiden KAFA pada 8 November tahun lalu dan timbalannya Datuk Seri Afandi Hamzah memangku jawatan tersebut. - Gambar fail
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan Kongres Agung Tahunan Ke-63 pada pertengahan bulan depan dan mempelawa calon yang berkelayakan untuk memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.
Kongres yang akan dihadiri oleh perwakilan dari Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan lain-lain ahli gabungan bakal menjadi tumpuan peminat setia The Red Warriors (TRW) kerana akan memilih presiden baharu yang akan memimpin KAFA bagi empat tahun akan datang.
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, merayu semua calon yang berminat menampilkan diri bagi mengambil alih kepimpinan persatuan dan merancang pembangunan bola sepak negeri secara lebih sistematik.
“Tempoh penggal lantikan Jawatankuasa Eksekutif ini sepatutnya berakhir pada tahun depan, namun KAFA berpandangan lebih sesuai dipercepatkan bagi memilih presiden dan exco baharu supaya dapat merancang dengan lebih berkesan pembangunan bola sepak Kelantan.
“Saya merayu kepada penyokong, peminat, ahli kelab dan seluruh rakyat Kelantan yang cintakan bola sepak supaya tampil untuk mengambil alih kepimpinan baharu KAFA,” katanya.
Untuk rekod, Tan Sri Annuar Musa telah melepaskan jawatan presiden KAFA, 8 November tahun lalu, dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah, memangku jawatan tersebut.
#Annuar Musa #bola sepak #Ismail Md Noor #KAFA #Kongres Agung Tahunan #Persatuan Bola Sepak Kelantan #presiden #The Red Warriors
;