Islam Makhachev juara baharu lightweight UFC

Haider Yutim
Oktober 22, 2022 07:27 MYT
Islam Makhachev melakar kemenangan bergaya ke atas Charles Oliveira untuk meraih kejuaraan lightweight UFC pada Ahad. - Foto REUTERS
PETARUNG sensasi, Islam Makhachev melakar kemenangan bergaya ke atas Charles Oliveira dari Brazil untuk meraih kejuaraan lightweight UFC pada Ahad.
Dalam acara utama UFC 280 yang berlangsung di Etihad Arena, Abu Dhabi itu, Makhachev yang berasal dari Rusia, menamatkan pendakiannya ke takhta berkenaan menerusi kuncian 'arm triangle' pada minit 3:16 pusingan kedua.
Pusingan pertama menyaksikan Oliveira menghabiskan sebahagian besar perlawanan dengan bertahan dan membuat cubaan kuncian.
Taktik itu pada mulanya kelihatan seperti membuahkan hasil. Bagaimanapun, pukulan daripada Makhachev pada pusingan kedua membuatkannya rebah.
Tanpa membuang masa, Makhachev terus menerpa ke arah Oliveira sambil membuat kuncian, sekali gus memaksa lawannya itu menyerah kalah.
Dengan keputusan terbaharu ini, Makhachev kini mempunyai rekod profesional MMA dengan 23 kemenangan dan satu kekalahan (23 - 1).
Dalam temu bual selepas pertarungan, Makhachev berkata, dia mendedikasikan kemenangan tersebut kepada jurulatihnya Allahyarham Abdulmanap Nurmagomedov, yang meninggal dunia pada 2020.
"Bertahun-tahun lalu dia memberitahu saya, berlatihlah bersungguh-sungguh dan saya akan menjadi juara," katanya dalam temu bual di gelanggang Octagon.
Makhachev, 31, dilatih oleh bekas juara lightweight dan bintang UFC, Khabib Nurmagomedov yang mengambil alih tugas Abdulmanap yang merupakan bapanya.
Takhta lightweight UFC dikosongkan selepas Oliveira dilucutkan gelaran tersebut kerana gagal mencapai berat, sehari sebelum saingan kejuaraan menentang Justin Gaethje pada Mei lalu.
Dia mencatat berat 70.2268kg (155.5 lbs) -- melebihi had berat badan yang ditetapkan untuk kelas lightweight iaitu 70kg (155 lbs).
Dia juga gagal menurunkan berat meskipun diberikan tempoh satu jam untuk melakukannya, dan dilaporkan tiba di acara ‘weigh-in’ pada saat akhir iaitu 5 minit sebelum acara tersebut tamat.
Sementara itu, dalam aksi acara kedua utama, petarung Amerika Syarikat, Aljamain Sterling menewaskan rakan senegaranya TJ Dillashaw, untuk mengekalkan kejuaraan bantamweight miliknya.
Sterling menundukkan Dillashaw melalui pukulan TKO pada minit 3:44 pusingan kedua.
#Islam Makhachev #juara lightweight UFC #Khabib Nurmagomedov #UFC 280
;