Islam Makhachev catat kemenangan kelapan berturut-turut dalam UFC
Haider Yutim
Julai 18, 2021 13:46 MYT
Julai 18, 2021 13:46 MYT
ISLAM Makhachev sekali lagi membuktikan dirinya antara petarung terbaik dalam kelas lightweight selepas menewaskan Thiago Moises dalam acara utama UFC Vegas 31, pada Ahad.
Petarung MMA dari Rusia itu menumpaskan lawannya dari Brazil menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 2:38 pusingan keempat.
Keputusan itu melebarkan rekod profesionalnya kepada 20 - 1 dengan lapan kemenangan berturut-turut.
Dalam temu bual selepas perlawanan, Makhachev, 29, melontarkan cabaran terhadap petarung Brazil, Rafael dos Anjos yang juga merupakan bekas juara lightweight UFC.
“Saya berikan kamu tiga hingga empat bulan (untuk membuat persiapan). Mari kita bertarung.
“Kamu boleh lari, tapi kamu tak boleh sembunyi. Saya akan datang juga nanti,” katanya.
Makhachev juga merupakan bekas juara dunia gusti sambo dan rakan sepasukan bekas jaguh UFC, Khabib Nurmagomedov.
Dia juga dilatih oleh Khabib yang turut menjadi ‘cornerman’ untuk pertarungan ini.
Sementara itu, dalam acara kedua utama, petarung Amerika Syarikat Meisha Tate meraih kemenangan pertama dalam ‘comeback-nya’ selepas hampir lima tahun bersara dari gelanggang Octagon.
Bekas juara bantamweight wanita itu menewaskan rakan senegara Marion Reneau menerusi TKO (technical knockout) pada minit 1:53 pusingan ketiga.
Dengan kemenangan tersebut, Tate kini mempunyai rekod profesional sebanyak 19 kemenangan dan 7 kekalahan (19 - 7).
Kali terakhir Tate, 34, bertarung ialah pada November 2016 di mana dia tewas kepada Raquel Pennington dalam acara UFC 205.
#Islam Makhachev
#lightweight
#Thiago Moises
#UFC
#UFC Vegas 31
#MMA
#Khabib Nurmagomedov
#Meisha Tate
#Marion Reneau
#Dagestan