Iskandar Zulkarnain terima tawaran jadi jurulatih di Ireland

Astro Arena
September 19, 2021 04:40 MYT
Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, kariernya sebagai pemain masih belum berakhir tetapi tidak akan mempersiakan peluangnya untuk berkelana di bumi Eropah. -Gambar fail
PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dilaporkan menerima tawaran untuk menjadi tenaga kejurulatihan skuad badminton kebangsaan Ireland.
Jelas pemain berusia 30 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu, kariernya sebagai pemain masih belum berakhir tetapi tidak akan mempersiakan peluangnya untuk berkelana di bumi Eropah.
Khidmatnya pada awalnya digunakan Ireland sebagai rakan sepelatih buat perseorangan lelaki mereka tetapi kini negara berkenaan dilaporkan berhasrat untuk kekal menggunakan khidmat bekas naib juara Kejohanan Remaja Dunia itu.
Dia berkata dalam satu temu bual Nadi Weekend: "Mereka mengalu-alukan kedatangan saya. Pada awalnya, ia hanya sebagai rakan sepelatih menjelang Sukan Olimpik Tokyo tetapi selepas melihat komitmen yang saya berikan, mereka bersetuju untuk menggunakan khidmat saya.
"Minggu depan saya akan berlepas ke sana (Ireland) untuk berada di sana selama tiga bulan bagi mempersiapkan pemain mereka ke Kejohanan Badminton Dunia hujung tahun ini.
"Saya tidak pernah jangka (akan beralih ke bidang kejurulatihan) kerana sekarang ini pun saya masih dalam proses pembelajaran untuk menguruskan situasi dengan pemain dan pihak pengurusan.
"Saya harap dapat belajar sesuatu yang saya tidak dapat pelajari di Malaysia ketika berada di Ireland nanti," katanya.
#badminton #Iskandar Zulkarnain Zainuddin #jurulatih #Ireland
;