Iskandar Zulkarnain mara ke suku akhir terbuka China
Bernama
November 17, 2016 07:29 MYT
November 17, 2016 07:29 MYT
Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin buat pertama kali mara ke suku akhir kejohanan badminton Siri Super pada Terbuka China, pada Khamis.
Menurut laman web rasmi bwfworldsuperseries.com, pada pusingan kedua berlangsung di Kompleks Sukan Olimpik Haixia, Fuzhou itu, Iskandar Zulkarnain yang kini di ranking ke-34 dunia menundukkan Guo Kai dalam masa hanya 48 minit.
Pemain berusia 25 tahun itu yang tewas 7-21 pada set pertama, bagaimanapun bangkit menyingkirkan pemain tuan rumah itu pada set kedua dan ketiga dengan 21-6, 23-21.
Iskandar Zulkarnain dijadual bertemu pemain ranking ke-24 dunia, Qiao Bin dari China yang menang ke atas pemain India, H.S. Prannoy 21-17, 21-19.
Bagaimanapun, beregu campuran negara yang juga pasangan pilihan ketiga, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal ke peringkat seterusnya apabila ditunjukkan jalan keluar oleh beregu tuan rumah, Zhang nan-Li Yinhui 17-21, 19-21.
Turut mengalami nasib sama ialah beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang tewas 21-23, 21-14, 21-13 kepada pasangan Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan. -- Bernama