Iskandar Zulkarnain kini jurulatih sepenuh masa di Ireland
Astro Arena
Mac 30, 2022 09:13 MYT
Mac 30, 2022 09:13 MYT
BEKAS perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, bertekad menggantung raket dan memasuki perjalanan karier baru selaku tenaga kejurulatihan skuad badminton kebangsaan Republik Ireland secara sepenuh masa.
Khidmat Iskandar Zulkarnain sebelum ini selaku rakan sepelatih Nhat Nguyen ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik Tokyo sebelum bekas naib juara Kejohanan Remaja Dunia itu ditawarkan kontrak selama setahun.
Biarpun cetek pengalaman selaku jurulatih pada usia 31 tahun -- dia bagaimanapun mengambil inspirasi daripada bekas jurulatihnya selaku nilai tambah dalam misi meningkatkan prestasi pemain negara Eropah itu.
Sejak dari kecil, dia hanya pernah dikendalikan oleh empat orang jurulatih termasuk Hendrawan dan Datuk Misbun Sidek di peringkat senior.
"Mereka mempunyai cara masing-masing dan saya akan kumpulkan semua elemen itu untuk disesuasikan dengan pemain di sini.
"Saya juga akan kongsikan pengalaman berlatih selama enam tahun bersama Datuk Lee Chong Wei.
"Bila saya cakap Chong Wei berlatih 6-7 jam sehari, mereka kata itu gila tapi saya berpesan itulah jalan untuk berjaya.
"Saya akan bawa Nguyen ke peringkat lebih tinggi, dia pemain berbakat berusia 22 tahun.
"Saya harap dia dapat mara ke suku akhir dalam Sukan Olimpik seterusnya," katanya ketika dihubungi Nadi Arena.