Iskandar, Liew Daren mara ke pusingan kedua Masters China

Bernama
April 19, 2016 20:12 MYT
Turut mengiringi Iskandar (kiri) ialah Liew Daren yang menewaskan pilihan ke-16, Wang Tzu Wei dari Taiwan 21-17, 21-17 untuk menempah pertemuan dengan Ye Binghong dari China. - Gambar fail
Dua wakil negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Liew Daren, meneruskan cabaran Malaysia apabila mara ke pusingan kedua acara perseorangan lelaki Kejohanan Masters China di Pusat Olimpik Changzho, pada Selasa.
Iskandar, 24, yang juga juara kebangsaan 2015, mengambil masa 31 minit untuk mengenepikan pemain Jepun, Koki Watanabe dengan straight set 21-15, 21-16.
Beliau yang diletakkan selaku pilihan ke-15 kejohanan akan berdepan pemain muda tuan rumah, Zhu Siyuan di pusingan kedua, yang menewaskan pemain Thailand Kandis Wanaroon 21-10, 21-7.
Turut mengiringi Iskandar adalah Liew Daren yang menewaskan pilihan ke-16, Wang Tzu Wei dari Taiwan 21-17, 21-17 untuk menempah pertemuan dengan Ye Binghong dari China.
Ye Binghong mara selepas memperoleh kemenangan percuma daripada wakil negara, Tan Chun Seang yang menarik diri.
Turut menarik diri adalah bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli dan Muhammad Arif Abdul Latif manakala Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Goh Soon Huat dan Goh Giap Chin terkandas di pusingan pertama.
Sementara itu, beregu campuran Tan Chee Tean-Chow Mei Kuan melepasi halangan di dua pusingan kelayakan untuk mara ke undian utama bagi berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Shin Seung Chan.
Terdahulu, pada pusingan pertama peringkat kelayakan, pasangan negara mengejutkan beregu Taiwan, Wang Chi-Lin-Hu Ling Fang 21-19, 21-17 sebelum mengenepikan gandingan tuan rumah Han Chengkai-Ni Bowen 21-17, 18-21, 21-13 dalam perlawanan kedua peringkat kelayakan.
#badminton #Iskandar Zulkarnain Zainuddin #Liew Daren #Masters China #Pusat Olimpik Changzho
;