Iskandar dan Koo-Tan ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Switzerland

Astro Arena
Oktober 17, 2015 07:31 MYT
Pasangan Koo-Tan layak selepas menewaskan Filip Michael Duwall Myhren-Steve Olesen masing-masing dari Sweden dan Denmark 21-19,21-12. - Foto Astro Arena
Pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta pasangan veteran, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mara ke separuh akhir kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Switzerland di Yverodn-les-Bains pada Sabtu.
Iskandar yang memburu gelaran ketiganya tahun ini mara selepas menundukkan pemain Denmark yang mara dari pusingan kelayakan, Anders Antonsen 21-16, 21-13.
Dia yang sudah menjuarai dua kejohanan Cabaran Antarabangsa di Singapura dan Poland, masing-masing pada Ogos dan Sept lepas, kini mencari kejuaraan ketiga berturut-turut dalam masa tiga bulan.
Di separuh akhir, Iskandar akan menentang pemenang perlawanan antara pilihan keempat Anand Pawar dari India dan Dymtro Zavadsky dari Ukraine.
Sementara itu, turut mara ke separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah AS$15,000 (RM62,719) adalah pasangan naib juara dunia 2010, Koo-Tan yang layak selepas menewaskan Filip Michael Duwall Myhren/Steve Olesen masing-masing dari Sweden dan Denmark 21-19,21-12.
Sebelum itu, seorang lagi pemain perseorangan negara, Soo Teck Zhi tewas di pusingan kedua di tangan pemain Belanda, Erik Meijs 13-21, 14-21.
#badminton #Cabaran Antarabangsa Switzerland #Cabaran Koo Kien Keat #Tan Boon Heong
;