Iskandar akan berentap dalam Masters Malaysia
Astro Arena
Januari 11, 2018 18:33 MYT
Januari 11, 2018 18:33 MYT
PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sah bakal beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia bermula 16 Januari ini walaupun sebelum ini kedudukannya dalam carta dunia tidak melayakkannya untuk beraksi.
Di bawah peraturan baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF), format baru peraturan untuk Kejohanan Badminton Masters Malaysia diubah dan ranking dunia Iskandar tidak mengizinkannya untuk beraksi.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pemain yang menarik diri dan situasi itu memberikan perkhabaran gembira buat Iskandar walaupun terpaksa memulakan cabaran di peringkat kelayakan terlebih dahulu.
Justeru, antara usaha gigih Iskandar adalah kerap melakukan perlawanan simulasi bersama jagoan negara, Datuk Lee Chong Wei, ketika sesi latihan.
"Saya baru dapat tahu pada Sabtu lalu bahawa saya boleh beraksi dalam kejohanan itu. Ia disebabkan saya adalah pemain simpanan pertama, jadi saya perlu mengharungi aksi kelayakan terlebih dahulu.
"Siapa lawan yang menunggu juga belum diketahui," katanya.
Untuk rekod, Iskandar pernah muncul naib juara Masters Malaysia pada 2016 manakala pada edisi 2017, dia menarik diri ekoran mengalami kecederaan belakang.
Iskandar mengakui kini dia bebas daripada sebarang masalah kecederaan yang menimpanya sepanjang tahun lalu dan bersedia untuk mengembalikan reputasi sebagai antara pemain perseorangan terbaik dalam negara.
"Motivasi saya adalah untuk membuktikan kemampuan sebenar dan pergi sejauh yang boleh. Saya sedar ada banyak kritikan, mungkin tahun ini adalah tahun yang baik untuk saya.
"Saya perlu memberikan segala yang telah saya pelajari ketika sesi latihan," tambahnya.
#badminton
#BWF
#Iskandar Zulkarnain Zainuddin
#Kejohanan Masters Malaysia
#persekutuan badminton dunia
#perseorangan lelaki