Irfan Shamsuddin, Cheong Jun Hoong dinobat Olahragawan, Olahragawati Masum 2017

Bernama
Julai 29, 2018 07:26 MYT
Jun Hoong menerima anugerahnya dari Mohd Gazali (tiga, kiri) di majlis yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya. - BERNAMA
Jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan ratu terjun negara Cheong Jun Hoong dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2017 malam tadi.
Jun Hoong dari Universiti Putra Malaysia, yang muncul juara dunia selepas memenangi pingat emas acara 10 meter platform pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest tahun lalu, mengetepikan rakan sepasukannya dalam acara terjun, Pandelela Rinong Pamg. Seorang lagi calon bagi olahragawati Masum adalah Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam acara memanah.
Muhammad Irfan, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dalam acara lempar cakera dengan yang terbaru di Kuala Lumpur tahun lalu, dari Universiti Malaya pula mengetepikan cabaran Muhammad Afif Muhammad Razif (Golf), Lim Chee Wei (Karate) dan Johnathan Wong Guanjie (Menembak).
Kedua-duanya menerima anugerah yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dalam majlis yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Kedua-dua mereka membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim dan Pengerusi Masum, Prof Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Bagi Jun Hoong, ia adalah satu kebanggaan bagi dirinya dapat memegang gelaran yang sama pernah dimilikinya pada 2012.
"Memang cukup gembira, satu penghargaan. Terima kasih atas sokongan berterusan dan usaha keras saya berbaloi. Bagi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sudah tentu saya akan berikan aksi yang terbaik," katanya.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara 10 meter platform seirama itu berkata pasukan dari China dan Korea Utara bakal memberi tentangan yang hebat baginya.
Jun Hoong berkata beliau hanya mensasarkan untuk membawa pulang pingat tanpa menetapkan jumlahnya.
Irfan diwakili kakaknya Salwa Shamsuddin, 34, kerana Irfan sendiri sedang menjalani latihan intensif di Jerman bagi menghadapi Sukan Asia bulan depan.
Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi atlet olahraga Asif Rahman Jiyaudeen dari Universiti Malaya, manakala Iman Aisyah Norazam (memanah) dari Universiti Sultan Zainal Abidin dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.
Sebanyak sembilan lagi anugerah disampaikan malam ini, antaranya atlet terbaik universiti kategori lelaki dan wanita, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan anugerah tokoh sukan. -- Bernama
#anugerah sukan #Cheong Jun Hoong #Irfan Shamsuddin #Majlis Sukan Universiti Malaysia #masum #Olahragawan #Olahragawati
;