Irfan hadiahkan pingat sulung buat kontinjen Malaysia

Bernama
Julai 15, 2023 00:03 MYT
Pada saingan itu, Irfan mencatat lemparan terbaik sejauh 59.63 meter (m) daripada enam percubaan. - Foto Sinar Harian
BANGKOK: Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin meraih pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Stadium Nasional Suphachalasai, di sini hari ini yang merupakan pingat sulung kem olahraga negara pada kejohanan ini yang akan melabuhkan tirainya esok.
Pada saingan itu, Irfan mencatat lemparan terbaik sejauh 59.63 meter (m) daripada enam percubaan.
Pingat emas acara lempar cakera itu dimenangi Abuduaini Tuergong dari China dengan catatan 61.19 m dan pingat perak dimenangi wakil Kuwait Eissa Zankawi yang mencatat 60.23m.
Irfan yang kelihatan kecewa dengan keputusan hari ini mengakui ia bukan keputusan yang diidamkanya.
"Saya boleh melakukan lebih baik daripada ini. Semasa saya berada dalam keadaan fizikal yang baik, saya berjaya mencatat balingan 60m hingga 62m ketika sesi latihan di Eropah.
Namun, saya telah jatuh sakit hampir seminggu kira-kira dua minggu lalu sehingga sesi latihan terhenti. Semua ini di luar jangkaan... semua ini tidak harus menjadi alasan. Saya akan berlatih dengan gigih lagi dan dapatkan kembali tenaga dan kecergasan saya," katanya.
Ini merupakan kali kedua Irfan membawa pulang pingat untuk Malaysia pada kejohanan ini. Beliau telah memenangi perak pada kejohanan sama pada edisi 2017 di India.
Bagi acara 200m wanita, cabaran bintang pecut muda negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal terhenti di separuh akhir apabila menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 24:25 saat (s).
"Saya menyasar untuk membuat rekod peribadi terbaik kali ini tetapi gagal. Namun begitu, saya telah melakukan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Jonathan Nyepa gagal ke final acara 200 m lelaki apabila mengakhiri saingan di kedudukan terakhir dengan catatan masa 21:83s.
Bagi acara 800m lelaki, dua wakil negara gagal ke final, iaitu Wan Muhammad Fazri Wan Zahari yang hanya menduduki tempat kelima dengan catatan masa 1 minit 50:94saat manakala Avinashwer Austin Murugan menduduki tempat terakhir catatan dengan masa 1:55:29s.
Sementara itu, Savinder Kaur Joginder Singh juga gagal mara ke final acara 800m wanita apabila menduduki tempat keempat dengan catatan masa 2:09:59s.
-- BERNAMA
#jaguh lempar cakera negara #Irfan Shamsuddin #pingat sulung #Kejohanan Olahraga Asia 2023
;