Irfan Bakti lepas jawatan pengendali Kuching City
Sinar Harian
Julai 19, 2023 08:30 MYT
Julai 19, 2023 08:30 MYT
PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim melepaskan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih The Cats.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City, Iswandi Ali Hassan berkata, keputusan Irfan Bakti turut disertai penolong pengendali, Sulaiman Hussin.
"Pihak kami menerima pemakluman peletakan jawatan dari lrfan Bakti Abu Salim dan Sulaiman Hussin sebagai ketua jurulatih serta penolong ketua jurulatih Kuching City FC.
"Pihak kami menghormati keputusan tersebut dan mengambil kesempatan ini untuk mengucap setinggi penghargaan kepada kedua mereka atas jasa dan kejayaan yang disumbangkan kepada Kuching City FC.
"Kecemerlangan mereka sejak mula mengambil alih tugas di Kuching City FC bersaing dalam Liga Premier akan tetap tertulis dalam sejarah," katanya.
Bagaimanapun tambah Iswandi, Kuching City FC akan berbincang dengan Sulaiman untuk melihat peranan yang boleh beliau lakukan dalam The Cats.
Kuching City FC kini menghuni tangga ke-13 dalam kalangan 14 pasukan selepas mengharungi 16 perlawanan - satu menang, tiga seri, 12 kalah - enam mata.
Kali terakhir The Cats melakar kemenangan adalah pada 25 Februari lalu, ketika mengejutkan Kelantan FC, 2-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Kuching City FC yang tewas 1-2 kepada Perak di Kuching baru-baru ini, akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC di laman sendiri pada 29 Julai. - Sinar Harian