Irama gadis ibukota raih kejuaraan kebangsaan

Astro Awani
Mac 28, 2013 06:28 MYT
Akhirnya selepas empat hari mendahului dan dicabar sengit seteru tradisi di saat akhir, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) terbukti jaguh gimnastik berirama seluruh Malaysia.
KL muncul juara keseluruhan Kejohanan Gimnastik Berirama MSSM 2013 walaupun menghadapi kebangkitan lewat pesaing hebat mereka, Selangor.
Selangor cuba bangkit dengan mendominasi kategori Senior. Lima pingat emas daripada enam yang mereka menangi diperolehi daripada gimnas-gimnas Senior mereka.
Bagaimanapun kekuatan keseluruhan KL terutama di peringkat umur lebih muda kategori Remaja dan Pra Remaja memberikan kelebihan utama dalam meraih majoriti emas daripada keseluruhan 13 pingat emas yang dimenangi.
Izzah binti Amzan dalam kategori Remaja dan Amisha Sofia binti Azli dalam kategori Pra Remaja menyumbangkan kelebihan pungutan emas hasil aksi hebat mereka dari hari pertama hingga hari ketiga kejohanan.
Bagaimanapun hari ini (Khamis), hari terakhir kejohanan empat hari ini , menyaksikan skuad Selangor cuba bangkit untuk merebut pingat-pingat emas terakhir dalam acara latihan berkumpulan untuk setiap kategori peringkat umur.
Namun prestasi tinggi KL yang konsisten sejak daripada acara latihan individu memastikan KL terus ke depan dengan mengenepikan cabaran getir Selangor untuk menjuarai emas kategori Pra Remaja dan Remaja.
Persaingan sebegitu sengit dengan perbezaan tipis 0.1 mata untuk pertandingan akhir latihan berkumpulan dengan belantan kategori Remaja.
Pertandingan akhir latihan berkumpulan dengan tali kategori Pra Remaja pula hanya berselisih 0.15 mata.
Kejohanan di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil ini jelas masih meneruskan kesinambungan tumpuan persaingan KL dengan Selangor.
Cabaran seterusnya hanya mampu diberikan oleh Melaka yang mendapat dua pingat emas untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan.
Ketika tirai berlabuh untuk Kejohanan Gimrama MSSM 2013 petang tadi, prestasi cemerlang KL di halaman mereka sendiri di Bukit Jalil memberi sinar harapan untuk realisasi aspirasi emas Olimpik negara di masa depan bermula dengan Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China nanti.
#Kejohanan Gimnastik Berirama MSSM 2013 #Kuala Lumpur #Selangor #Sukan Olimpik Remaja 2014
;