IOC cadang benar atlet Rusia bersaing sebagai atlet individu, di bawah bendera neutral

Bernama
Mac 29, 2023 16:00 MYT
Bach berkata lembaga eksekutif IOC belum memutuskan mengenai garis masa yang jelas berhubung keputusan penyertaan atlet dari kedua-dua negara pada Sukan Olimpik 2024 berdasarkan situasi semasa yang rumit.- Fail/REUTERS
MOSCOW: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan persekutuan sukan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di bawah bendera neutral kecuali mereka yang menyokong operasi ketenteraan di Ukraine, kata presiden IOC Thomas Bach pada Selasa.
* Atlet dengan pasport Rusia atau Belarus boleh bersaing sebagai atlet neutral individu.
* Pasukan atlet dengan pasport Rusia atau Belarus tidak boleh dipertimbang.
* Atlet yang menyokong perang secara aktif tidak boleh bertanding ...
* Atlet yang mempunyai kontrak dengan tentera Rusia atau Belarus atau agensi keselamatan negara tidak boleh bertanding," kata Bach kepada pemberita.
Menerusi cadangan itu, persekutuan sukan antarabangsa juga wajar mengambil kira aktiviti atlet di media sosial, kenyataan awam mereka mengenai konflik Ukraine, dalam memutuskan sama ada untuk membenarkan individu dari Rusia atau Belarus bertanding, menurut IOC.
"Semua situasi berkaitan, khususnya kenyataan awam, termasuk yang dibuat di media sosial; penyertaan dalam demonstrasi atau acara properang; dan paparan sebarang simbol yang menyokong perang di Ukraine, sebagai contoh, simbol 'Z', perlu diambil kira," kata IOC dalam siaran akhbarnya, lapor Sputnik.
Pada masa yang sama, IOC juga berkata ia akan membuat keputusan mengenai penyertaan atlet dan kakitangan sokongan mereka dengan pasport Rusia atau Belarus pada Sukan Olimpik 2024 pada masa yang sesuai di Paris nanti".
Pada sidang media itu Bach berkata lembaga eksekutif IOC belum memutuskan mengenai garis masa yang jelas berhubung keputusan penyertaan atlet dari kedua-dua negara pada Sukan Olimpik 2024 berdasarkan situasi semasa yang rumit.
IOC turut mengesahkan kepada agensi berita RIA Novosti bahawa semua atlet Rusia yang mewakili Kelab Sukan Tentera Pusat (CSKA) dan kelab lain yang dikaitkan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, tidak memenuhi kriteria untuk mendapatkan status neutral untuk menyertai pertandingan antarabangsa.
Pada Februari 2022, IOC mengesyorkan persekutuan sukan antarabangsa melarang atlet Rusia dan Belarus daripada menyertai pertandingan selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Kebanyakan persekutuan antarabangsa pada mulanya bersetuju dengan cadangan itu namun beberapa badan menggesa supaya atlet dari Rusia dan Belarus dibenarkan bertanding di bawah bendera neutral.
-- BERNAMA
#IOC #atlet Rusia #Thomas Bach #bendera neutral
;