Inter lepasi ujian pertama Milan di San Siro

Sinar Harian
Mei 11, 2023 09:30 MYT
Pemain Inter Milan Lautaro Martinez meraikan bersama rakan sepasukan selepas tamat perlawanan pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-juara antara AC Milan dan Inter Milan di San Siro, Milan, Itali, 10 Mei 2023. REUTERS
INTER Milan menjaringkan dua gol awal untuk memastikan kemenangan mengagumkan 2-0 ke atas AC Milan dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium San Siro pada Khamis.
Permulaan baik itu membolehkan Inter kekal di landasan untuk menjadi kelab Itali pertama memenangi trofi tersebut sejak melakukannya pada 2010.
Dua gol Inter hadir menerusi voli Edin Dzeko minit kelapan sebelum Henrikh Mkhitaryan menggandakan jaringan hasil hantaran lintang Federico Dimarco untuk mengejutkan jiran tertangga tersebut pada minit ke-11.
Milan yang berusaha kembali dalam permainan pada separuh masa kedua ternyata buntu menyaingi aksi Derbi Euro kedua-dua pasukan di pentas Liga Juara-Juara itu berdepan tugas berat untuk kekal di landasan terbaik menjulang kejuaraan Eropah kelapan mereka.
"Rasanya sangat bagus, terutamanya kerana ia adalah perlawanan derbi. Kami bermain di tempat lawan di atas kertas. Ia keputusan yang hebat untuk kami.
"Kadang-kadang anda berada dalam detik sukar ini di mana bola tidak mahu masuk. Kesabaran dan kerja keras sentiasa membuahkan hasil.
"Sejujurnya saya tenang kerana mengetahui gol akan datang seperti biasa dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti ini," kata Dzeko.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Inter menewaskan jiran Milan dalam saingan kalah mati Eropah, dengan Milan mara daripada kedua-dua pertemuan sebelumnya, yang terbaharu pada suku akhir Liga Juara-Juara 2004/05.
Inter akan menerima kunjungan Milan pada perlawanan kedua di venue yang sama pada Rabu depan dan pemenang bakal menentang Real Madrid atau Manchester City pada perlawanan akhir. - Sinar Harian
#inter milan #Liga Juara-Juara #AC Milan
;