Intan Sarah teruja debut bersama New York Dutch Lions di AS

Sinar Harian
Jun 16, 2023 12:10 MYT
Intan yang memakai jersi nombor 10 dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua diberi peluang menunjukkan kemahirannya selama 10 minit. - Gambar/ Sinar Harian
PEMAIN bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli mengakui teruja apabila dapat melakukan penampilan pertama dalam saingan Liga Premier Bola Sepak Wanita (WPSL) Amerika Syarikat.
Malah penyerang berusia 23 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Intan Serah gembira diberikan kepercayaan menggalas cabaran New York Dutch Lions FC (NYDL) ketika berdepan SUSA FC yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Kompleks Sukan SUSA, Long Island di New York, awal pagi Khamis.
Intan yang memakai jersi nombor 10 dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua diberi peluang menunjukkan kemahirannya selama 10 minit.
"Kemunculan pertama dengan NYDL dan 10 minit pertama saya dengan jersi nombor 10 pertama saya.
"Perlawanan yang terbaik bersama rakan sepasukan. Satu mata dan lebih banyak mata lagi akan diburu," ujarnya.
Mengenai keadaan perubahan cuaca di New York, Intan mengakui sedang menyesuaikan diri kerana suhu pada ketika ini amat sejuk.
“Cuaca di sini terlalu sejuk. Saya duduk di bangku simpanan, sumpah macam duduk dalam peti ais, jari semua beku.
“Rasa tak boleh warm up (pemanasan badan) biasa, kena masukmicrowave je kalau nak panas badan. Tengok last slide (gambar terakhir), selimut pakai semua bip, tapi mereka macam rileks je kan?
“Sangat tak kelakar 5 pagi cerah macam ni sekali,” katanya. - Sinar Harian
#Intan Sarah #Intan Serah #Amerika Syarikat #penampilan pertama
;