Institut Sukan Negara gagal lahirkan atlet terjun mencukupi - Abdul Karim

Fadilah Sulaiman
Julai 31, 2022 11:14 MYT
Abdul Karim bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Matang Trail Run 2022 di Kem Pengakap Matang, Taman Negara Kubah dekat Kuching hari ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Institut Sukan Negara (ISN) patut bertanggungjawab atas kegagalan menghasilkan atlet mencukupi untuk menyertai acara terjun wanita bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Meluahkan kekecewaannya, Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kegagalan itu merugikan usaha pembangunan sukan negara, lebih-lebih lagi dalam acara boleh menang pingat di peringkat antarabangsa.
“Pegawai-pegawai ISN yang diamanahkan itu patut letak jawatan. Kita tak dapat menyalahkan menteri 100 peratus. Sebab itu saya percaya apa yang dikatakan oleh Pandelela itu juga berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang sebelum ini yang mendakwa sukan itu dibatalkan angkara 'politiking' pihak penganjur.
“Di manakah pegawai yang dipertanggungjawab ini? Kadang-kadang makan gaji buta sahaja!
"Mereka ditugaskan untuk memastikan setiap negeri dapat menghasilkan atlet dalam semua acara di peringkat nasional.
“Jika ada negeri yang tidak dapat atau tidak mampu keluarkan atlet mereka maka ISN telah gagal dan pegawai yang bertanggungjawab itu patut berhenti,” tegasnya.
Abdul Karim berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Matang Trail Run 2022 di Kem Pengakap Matang, Taman Negara Kubah dekat sini hari ini.
Terdahulu, acara terjun wanita digugurkan dari SUKMA 2022 susulan tidak mencukupi syarat penyertaan minimum enam kontinjen.
Sukan terjun merupakan antara lubuk pingat bagi Sarawak, sekali gus menjadikannya kuasa sukan acara itu termasuk melahirkan Pandelela.
#Abdul Karim Rahman Hamzah #Institut Sukan Negara #Acara Terjun Wanita #Sukma 2022
;