Insiden Williams tidak akan berlaku di Wimbledon
Astro Arena
September 28, 2018 13:00 MYT
September 28, 2018 13:00 MYT
PENGERUSI Wimbledon, Philip Brook, berkata insiden Serena Williams dalam final Terbuka AS "tidak baik untuk tenis" serta menegaskan perkara itu tidak akan berlaku di Kelab Seluruh England.
Williams mengalami kekalahan penuh kontroversi kepada Naomi Osaka di New York, dengan bekas pemain nombor satu dunia itu mengeluarkan kata-kata kasar terhadap pengadil perlawanan, Carlos Ramos.
Bintang berusia 37 tahun itu mendakwa dirinya dilayan tidak sama rata seperti pemain tenis lelaki selepas menerima beberapa peraturan di Stadium Arthur Ashe.
Mengejar grand slam yang ke-24, Williams pada mulanya menerima pelanggaran kod melibatkan jurulatih apabila dia dianggap menerima arahan daripada jurulatih, kemudian pengadil menolak mata Williams kerana mematahkan raket sebelum mengecam Ramos -- dengan melabel pengadil itu sebagai "pencuri" dan "penipu".
Membincangkan insiden tersebut, Brook percaya juara Wimbledon tujuh kali, Williams, berada di bawah tekanan di hadapan khalayak ramai manakala Ramos hanya melakukan tugasnya.
"Ramai yang bertanya kepada saya adakah ia akan berlaku di Wimbledon?" kata Brook. "Reaksi pertama saya adalah mungkin tetapi saya cuma memikirkan keunikan terhadap insiden yang berlaku di New York.
"Terdapat beberapa penonton yang mahu Williams menang dalam perlawanan itu. Williams ketinggalan satu gelaran untuk menyamai rekod Margaret Court (24 gelaran grand slam).
"Saya berasakan dia di bawah tekanan, saya berasakan Ramos hanya melakukan tugasnya. (Namun), ia bukan imej yang baik buat tenis," katanya lagi.
#Grand Slam
#Kelab Seluruh England
#kontroversi
#naomi osaka
#Philip Brook
#Serena Williams
#tenis
#Terbuka AS
#tidak sama rata
#Wimbledon