Insiden 'rompakan': Ryan Lochte didakwa pihak berkuasa Brazil
Agensi
Ogos 26, 2016 12:00 MYT
Ogos 26, 2016 12:00 MYT
Pihak berkuasa Brazil hari ini telah mengenakan dakwaan terhadap perenang Amerika Syarikat Ryan Lochte kerana membuat kenyataan palsu kononnya telah dirompak semasa Sukan Olimpik di Rio, baru-baru ini.
Menurut polis, pemenang pingat emas berusia 32 tahun itu juga mungkin berdepan hukuman penjara, namum perkara itu masih belum disahkan lagi.
"Ryan Lochte didakwa kerana melaporkan jenayah palsu," kata polis, sambil menambah bahawa kes itu telah pun dirujuk kepada mahkamah.
Menurut kenyataan polis lagi, mereka mencadangkan mahkamah mengeluarkan saman untuk Lochte disoal siasat.
"Sebaik sahaja dia dipanggil, sama ada dia hadir atau tidak, hukuman tetap sama: penjara satu hingga enam bulan," kata pegawai polis, Clemente Braunelaman seperti dipetik portal berita G1 Rio.
Jelasnya, perbicaraan akan tetap diteruskan tanpa kehadiran tertuduh sehingga hukuman akhir diberikan.
Lochte, pada 20 Ogos lalu telah memohon maaf atas insiden ‘rompakan’ yang berlaku pada Ahad di Rio de Janeiro.
Beliau memuat naik satu kenyataan di Instagram, di mana beliau ingin memohon maaf kerana tidak berhati-hati dan berterus terang tentang insiden yang berlaku minggu lalu.