Insiden perlanggaran: Penjaga gol Terengganu FC dilaporkan stabil

Astro Awani
September 4, 2022 17:00 MYT
Rahadiazli tercedera akibat perlanggaran dengan pemain Melaka United, Harith Naem Jaineh ketika cuba menangkap bola di dalam kotak penalti pada minit ke-46. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim yang dikejarkan ke hospital ketika aksi menentang Melaka United, malam tadi dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata pemain berusia 21 tahun itu sudah mulai sedar.
Jelasnya pemain berkenaan masih ditempatkan di wad bagi pemantauan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Beliau berharap penjaga gol berkenaan cepat sembuh dan dapat kembali beraksi menjelang perlawanan akhir Piala FA 2022 pada 10 September nanti.
Sukan | Penjaga gol Terengganu FC dilaporkan stabil
Terdahulu penjaga gol itu tercedera akibat perlanggaran dengan pemain Melaka United, Harith Naem Jaineh ketika cuba menangkap bola di dalam kotak penalti pada minit ke-46.
Susulan itu perlawanan terhenti selama enam minit apabila anggota perubatan kedua-dua pasukan cuba memberi bantuan sebelum rahadiazli dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di sini menaiki ambulans.
TFC yang ketika itu sedang mendahului satu gol menamatkan permainan dengan kemenangan besar 5-0 hasil jaringan Kpah Sherman, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan hatrik daripada Kipre Tchetche.
#penjaga gol Terengganu FC #Rahadiazli Rahalim #cedera dirempuh #melaka united
;