Insentif khas menanti pemenang pingat emas di Hanoi
Bernama
April 24, 2022 21:03 MYT
April 24, 2022 21:03 MYT
KUALA LUMPUR: Berita menggembirakan buat atlet yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini apabila dijanjikan insentif khas sebagai penghargaan mengharumkan nama negara di temasya sukan dwitahunan itu.
Lebih bermakna, ganjaran tersebut bakal diberikan sendiri Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Nur Azmi Ahmad kepada atlet di sana sebaik memenangi acara disertai.
Tanpa mendedahkan bentuk atau jumlah insentif khas berkenaan, Nur Azmi berharap inisiatif itu dapat menyemarakkan semangat barisan atlet negara bagi melakar kejayaan cemerlang di Hanoi.
"Saya nak atlet menolong saya mendapatkan pingat jadi saya pun kena sediakan peruntukan kepada mereka supaya kejayaan diraih itu dikongsi bersama.
"Insentif itu saya akan bagi terus di Hanoi. Mengenai jumlah, nanti tanyalah pemenang pingat emas pertama di sana," katanya pada sidang media Majlis Ucaptama Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, pada Ahad.
Insentif tersebut sekali gus menjadi ganjaran tambahan kepada atlet yang berjaya membawa pulang emas kerana mereka turut layak menerima 'habuan' berjumlah RM20,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Pada Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei, Malaysia menghantar kontinjen dengan jumlah keseluruhan 864 orang, terdiri daripada 589 atlet dan 217 pegawai.
Malaysia bakal mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 yang dipertandingkan melibatkan 338 acara daripada keseluruhan 526 acara.
Sementara itu, perhimpunan tersebut yang bermula hari ini hingga 5 Mei, menyaksikan seramai 282 atlet melaporkan diri pada hari pertama dan 41 atlet akan hadir secara berfasa, manakala baki sedang menjalani latihan di luar dan dalam negara.
"Berdasarkan lawatan ke venue latihan, saya nampak komitmen mereka (atlet) sedang melonjak. Kita berharap tiada atlet dijangkiti COVID-19 dan saya rasa pada 8 haribulan kita sudah nampak kilauan dua pingat emas daripada sukan terjun," katanya.
Sasaran awal ditetapkan buat Kontinjen Malaysia adalah 79 pingat merangkumi 31 emas, 19 perak dan 29 gangsa, namun sasaran rasmi akan diumumkan Rabu ini.
-- BERNAMA