Inisiatif KBS: Memperkasakan rakyat dengan sukan, fasiliti
Ian Johan Ariff
Disember 21, 2023 13:50 MYT
Disember 21, 2023 13:50 MYT
RAKYAT Malaysia kini boleh menikmati kelas renang dan penggunaan stadium percuma selain menyewa tempat tinggal dan menggunakan fasiliti sukan sedia ada untuk pembangunan sukan.
Tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan beberapa inisiatif bagi merakyatkan sukan dan fasiliti KBS yang sedia ada.
Berikut adalah antara inisiatif yang diumumkan.
1. Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang
Pada Mei 2023, KBS mengumumkan Inisiatif KLAS Renang yang menawarkan kelas renang percuma kepada kanak-kanak B40 bagi mengurangkan kejadian lemas.
Fasa satu KLAS Renang mendapat sambutan yang positif melibatkan 739 peserta dalam kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Sebanyak 90 peratus daripadanya telah melengkapkan pembelajaran dan latihan penguasaan kemahiran asas renang, terutamanya membina keyakinan di dalam air dan pelbagai teknik kemahiran renang.
Fasa dua KLAS Renang yang bermula pada September hingga Disember 2023 diperluaskan ke 36 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan seramai 5,760 orang kanak-kanak.
Selain itu, projek rintis program KLAS Renang ini juga diperluaskan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di lokasi terpilih di Johor dan Negeri Sembilan.
2. Merakyatkan Fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia
Pada Julai 2023, KBS mengumumkan bahawa fasiliti di bawah Perbadanan Staidum Malaysia (PSM) akan dibuka kepada sekolah penganjuran hari sukan.
Stadium yang disediakan untuk sekolah ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara.
PSM telah menerima sebanyak 19 permohonan sejak ia diumumkan dan 17 daripadanya telah diluluskan sehingga bulan Disember 2023
Selain hari sukan, pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti lain berkaitan sukan atau pertandingan bola antara sekolah di SNBJ.
Selain stadium, KBS juga menyediakan pelbagai fasiliti percuma untuk sekolah.
Fasiliti-fasiliti tersebut juga boleh digunakan oleh rakyat untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah.
3. Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti
Inisiatif ini adalah usaha KBS untuk menyokong persatuan sukan kebangsaan (PSK) dalam usaha mereka mendapatkan tempat latihan yang tetap bagi tujuan pembangunan prestasi dan bakat sukan.
Objektif utama inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti adalah untuk memperkasakan persatuan agar dapat meningkatkan kualiti pengurusan dan pembangunan tadbir urus yang lebih baik, teratur, sistematik dan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, ia juga bagi mengoptimumkan penggunaan fasiliti dan kemudahan sukan sedia ada, sama ada di bawah pengurusan kerajaan mahupun swasta.
4. Penginapan Youth Capsule (Y-Capsule)
KBS telah melancarkan Y-Capsule di @IYCResidence pada harga RM10 sehari pada September yang lalu.
Program ini diwujudkan bagi belia yang sedang menjalani latihan industri, sedang mencari pekerjaan atau mereka yang bekerja tetapi tidak mempunyai tempat tinggal.
Pusat Belia Antarabangsa (IYC) agensi yang bertanggungjawab bagi program Y-Capule ini menyediakan 54 katil yang lengkap dengan set kelengkapan tidur (selimut, bantal, sarung bantal,cadar).
Selain itu, fasiliti ini turut menyediakan tandas dan bilik mandi, ruang pantri, peralatan memasak guna sama (peti sejuk, periuk nasi, dapur), dobi layan diri berbayar, ruang rehat dan ruang seterika.
Inisiatif ini dilihat dapat membantu belia dalam usaha mencari pekerjaan dan latihan industri.