Inilah masanya - Klose
Astro Arena
Julai 13, 2014 20:22 MYT
Julai 13, 2014 20:22 MYT
Penyerang sensasi Jerman, Miroslav Klose percaya bahawa skuadnya memiliki kualiti untuk menebus kekalahan kepada Brazil pada final Piala Dunia 2002, apabila mereka bertemu Argentina awal pagi Isnin.
Jerman mempamerkan prestasi yang memberangsangkan apabila menewaskan tuan rumah dengan jaringan besar 7-1, untuk bertemu Albiceleste, sekaligus mengulangi final 1986 dan 1990.
Kali terakhir Jerman melakukan kemunculan pada pentas final Piala Dunia iaitu pada 2002, ketika mereka tewas 2-0 kepada Brazil di Yokohama, dan Klose merasakan inilah peluang terbaik Jerman untuk menjulang Piala Dunia buat kali keempat dengan menewaskan skuad bimbingan Alejandro Sabella.
"Tahun 2002 berbeza. Kami masih muda, tiada siapa menduga kami mara ke final. Tetapi akhirnya kami lakukan. Kami masih kecewa kerana tewas di final, tetapi inilah masanya untuk memenanginya," kata pemain berusia 36 tahun itu.
"Bagi kami, semangat berpasukan sangat diutamakan. Tiada siapa yang ada permusuhan antara satu sama lain. Mereka semua sangat profesional dan matang, walaupun sebahagian daripada mereka berumur hanya 25 atau 26, malah ada yang lebih muda. Kami adalah satu pasukan, satu unit yang rapat. Kami menang dan kalah bersama-sama.
"Kami menikmati perlawanan menentang Brazil tetapi kegembiraan hilang selepas 24 jam. Sedihnya kerana ia hanya perlawanan separuh akhir, dan perlawanan seterusnya adalah menentang Argentina. Kami perlu sekali lagi bermain dengan corak yang terbaik yang kami ada," tambah Klose, yang juga penyerang pasukan Lazio. Astro Arena