Ini kehidupan Chong Wei selepas sebulan bersara
Isabelle Leong
Julai 24, 2019 09:54 MYT
Julai 24, 2019 09:54 MYT
Tanpa kami sedari, sebulan sudah berlalu sejak bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya.
Bagaimana kehidupan Chong Wei sekarang, berbanding sebelum ini yang dipenuhi dengan latihan di gelanggang bagi membuat persiapan untuk pertandingan yang akan datang?
Lagenda badminton negara tersebut berkata beliau banyak meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak mereka.
Dengan pelantikannya sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (Chef-de-Mission, CDM) untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau berkata dirinya akan semakin sibuk dalam masa terdekat.
“Pada bulan depan, saya akan hadiri mesyuarat di Jepun. Inilah jadual saya selepas bersara.
“Pada bulan September dan Oktober, saya akan mengadakan sesi ‘sparring’ buat anak muda dan membuat persediaan dalaman untuk Olimpik 2020,” katanya kepada pemberita selepas Gala IPEC Global Legacy 2019 pada Selasa.
Chong Wei bersama ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menerima Anugerah Utama Perdana Legasi pada majlis tersebut.
Tambahnya, tugasnya sebagai CDM ke temasya empat tahun sekali itu memerlukannya menyesuaikan diri dengan peralihan daripada seorang atlet kepada ketua kontinjen negara dengan pantas.
"Saya bekerja dengan cara yang berbeza sekarang. Dulu tugas saya ialah sebagai seorang atlet, sekarang saya sudah menjadi pegawai.
"Saya juga perlu mengikuti berita mengenai semua sukan seperti terjun dan memanah, bukan sekadar berita mengenai badminton.
"Saya banyak belajar daripada pegawai lain superti Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) untuk membuat peralihan daripada seorang 'sportsman'," katanya.
Sementara itu, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akui merindui sukan yang menjadi penemannya buat 19 tahun.
“Rindu turun ke gelanggang dan rindu pegang raket.
“Sekarang pegang raket dan hanya main bersama anak-anak saya,” katanya sambil bergurau.
Chong Wei, 37, mengumumkan persaraan daripada dunia badminton atas faktor kesihatan pada 13 Jun lalu.