Ini hadiah dari Jun Hoong, terima kasih Malaysia!
Nazialita Geynna Maharan
Julai 20, 2017 23:15 MYT
Julai 20, 2017 23:15 MYT
“Ini impiannya dari kecil, untuk mendapat emas. Terima kasih Malaysia, atas sokongan untuk anak saya, Jun Hoong. Emas ini, emas untuk anda semua."
Demikian luahan Leow Lai Kwan, ibu kepada Cheong Jun Hoong, atlet terjun yang telah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest pada awal pagi ini.
Katanya, beliau merasa begitu gelisah namun yakin dengan persembahan daripada anaknya itu kerana menjadi impian anak sulungnya untuk merangkul emas sejak kecil lagi.
“Saya begitu gementar, dan saya berada di hadapan televisyen bersama dengan suami saya sekitar pukul 12.30 pagi untuk menonton siaran langsung dengan perasaan berdebar-debar.
“Saya tidak dapat berkata-kata sewaktu dia diumumkan sebagai juara untuk kategori tersebut, dan sebaik sahaja pengumuman selesai dia menghubungi saya untuk memberitahu mengenai kemenangannya,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kepayang, di sini hari ini.
Sementara itu, adik bongsunya, Jun Yeng, 24 berkata pingat emas yang dinantikan oleh kakaknya sejak sekian lama itu adalah hasil daripada pengorbanan selama ini.
Katanya, keluarganya sering berhubung dengan Jun Hoong sewaktu beliau berada di kejohanan tersebut melalui aplikasi Whatsapp untuk mengetahui perkembangan terkini di sana.
“Kami tidak pernah memberikan sebarang tekanan kepada kakak saya, kerana memang sifatnya, akan memberikan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukannya.
“Bukan sikit pengorbanan dia, masa bersama keluarga yang terhad, tenaga dan beberapa kali mengalami kecederaan, itu semua rutin bagi dia,ini adalah berkat usaha beliau, sokongan Malaysia dan semua,terima kasih banyak-banyak.
“Kami tahu, ramai yang berjaga dan menyaksikan pertandingan itu, kami pun hanya mengetahui markah penuh ketika terjunan terakhir Jun Hoong. Buat semua, teruskan menyokong Jun Hoong,”katanya kepada Suara Perak.
Jun Yeng berkata, kakaknya akan terus menyertai latihan persiapan untuk Sukan Sea yang akan berlangsung pada bulan hadapan sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur pada 24 Julai (Isnin).
Menurut laman web rasmi FINA, Jun Hoong, 27, meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita dengan mengumpul 397.50 mata.
Sebelum ini, penerjun negara itu memenangi pingat perak di Olimpik Rio apabila berpasangan dengan Pandelela Rinong.