Ini alasan Benzema berhijrah ke Arab Saudi...

Astro Awani
Jun 8, 2023 07:30 MYT
Lebih 60,000 penyokong meraikan kehadiran Karim Benzema dalam sebuah acara yang diadakan di Stadium Al-Jawhara, Raja Abdullah Sports City, Jeddah pada malam Khamis. - Foto REUTERS
JEDDAH: Arab Saudi sentiasa menjadi negara yang ingin didiami oleh bintang bola sepak antarabangsa, Karim Benzema.
Sebagai seorang muslim, Benzema berpendapat, negara yang menjadi pusat pengembangan agama Islam itu akan menawarkan sebuah kehidupan yang indah buatnya.
"Sebenarnya, kerana saya seorang Muslim dan ini adalah sebuah negara Islam. Saya sentiasa ingin tinggal di sana. Saya pernah ke Arab Saudi sebelum ini, dan saya merasa senang sekali di sana.
“Yang paling penting, ini adalah sebuah negara Islam yang dikasihi dan indah. Apabila saya berbincang dengan keluarga saya tentang menandatangani dengan Arab Saudi, mereka semua sangat gembira dan inilah saya. Bagi saya, inilah tempat yang saya inginkan."
"Saya juga dapat merasakan ramai orang sudah menyukai saya," kata Benzema menjawab pertanyaan mengapa beliau memilih Arab Saudi untuk mengembangkan kerjaya bola sepaknya seperti dilaporkan portal berita Saudi Gazette.

Watch the full interview with Karim Benzema! Learn about his ambitions and goals with us next season!#Benzema2Ittihad #HereToInspireKSA pic.twitter.com/lMSkSPh7AL

— Ittihad Club (@ittihad_en) June 8, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Benzema turut memberitahu, menetap di Arab Saudi akan menawarkan kehidupan baharu buatnya.
“Saya ingin belajar bahasa Arab dan bertutur dengan lancar, ini penting bagi saya. Saya sudah pernah ke Arab Saudi, Mekah sangat dekat dan sebagai seorang yang beriman, ini penting bagi saya - di sinilah saya akan merasa yang terbaik dan dalam elemen saya," sambung Benzema.
Benzema tiba di Jeddah pada hari Rabu, sehari selepas menyelesaikan perpindahan ke kelab Saudi, Al-Ittihad, yang merupakan juara Liga Profesional Saudi.
Penyerang Perancis berusia 35 tahun dan pemenang Ballon d'Or itu menandatangani kontrak tiga musim dengan kelab Jeddah pada hari Selasa dengan nilai keseluruhan AS$165 juta (RM762 juta), lapor media tempatan.
Dalam sidang media pertama di Jeddah, Benzema menyatakan hasratnya untuk meninggalkan ‘legasi abadi’ selain membawa pulang koleksi piala kepada kelab baharunya itu.
Penyerang antarabangsa itu juga optimis kepercayaan beliau terhadap Islam merupakan faktor penting dalam keputusannya untuk berpindah ke Arab Saudi.
"Ini merupakan cabaran baharu bagi saya, kehidupan baharu dan saya tidak sabar untuk memulakan latihan. Saya akan melakukan segalanya untuk memenangi piala, menjaring gol, menunjukkan bakat saya, memuaskan penyokong, kelab, presiden - semua orang," katanya.
Kegirangan penyokong bola sepak Arab Saudi terhadap keputusan Benzema menyertai kelab Al-Ittihad diterjemahkan menerusi sambutan luar biasa diberikan lebih daripada 60,000 orang dalam sebuah acara yang diadakan di Stadium Al-Jawhara, Raja Abdullah Sports City, Jeddah pada malam Khamis.
Ini merupakan sambutan terbesar yang pernah diberikan kepada mana-mana pemain di Arab Saudi, dan nama Benzema memasuki senarai lima bintang bola sepak yang diraikan secara gilang-gemilang.
Apa yang turut memberangsangkan ialah kelas Al-Ittihad telah menjual lebih daripada 56,000 tiket untuk menyaksikan persembahan Benzema hanya dalam beberapa jam selepas dibuka untuk jualan dengan harga serendah 9 Saudi Riyal (RM9).
Penyokong berhimpun kali kedua dalam tempoh seminggu selepas Al-Ittihad meraih gelaran juara Liga Pro Saudi pada Rabu lalu selepas menanti selama 14 tahun.
‘Demam Benzema’ melanda Jeddah sejak berita perpindahannya ke Al-Ittihad tersebar luas.
Bahkan, sejumlah besar penyokong yang memakai pakaian kuning dan hitam iaitu warna kelab menyambut Benzema semasa ketibaannya di bandar raya pada Rabu malam.
Benzema, bekas kapten Real Madrid, telah memenangi 25 gelaran dan menjaringkan 354 gol dalam 648 penampilan bagi kelab Sepanyol tersebut.
Bintang bola sepak itu setia bersama Real Madrid selama 14 tahun sebelum meninggalkan rakan seperjuangan di situ pada Ahad lalu sebagai pencetak gol terbanyak kedua sepanjang masa kelab tersebut.
Beliau menandatangani kontrak awal selama tiga tahun dengan Al-Ittihad.
Rakan sepasukannya dari Perancis, N'Golo Kante juga dijangka akan menyertai beliau dari Chelsea tidak lama lagi.
Sebelum penyertaan Benzema, superstar bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo telah membuka jalan dalam Liga Pro Saudi dengan menandatangani kontrak yang menguntungkan dengan kelab Al-Nassr pada Disember tahun lalu.
#Karim Benzema #kelab Al-Ittihad #Liga Profesional Saudi #Real Madrid
;