Ini 10 Pemain Tumpuan Liga Malaysia 2019
Astro Awani
Januari 5, 2019 16:46 MYT
Januari 5, 2019 16:46 MYT
LIGA MALAYSIA akan bermula tidak lama lagi dan semua pasukan sedang sibuk melakukan persediaan bagi memperkuatkan skuad masing-masing.
Pelbagai kontroversi dibincangkan di media sosial mengenai perpindahan pemain namun apa yang penting adalah saingan yang bakal menanti peminat-peminat liga bola sepak tempatan.
Ini merupakan 10 pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam saingan liga tahun ini.
1. Diogo Santo (JDT)
Diogo Luis Santo sah menyertai JDT musim ini daripada kelab juara liga Thailand, Buriram United. Santo adalah penyerang berbisa dan yang paling hebat pernah beraksi di Thailand.
Pemain Brazil itu menjaringkan 101 gol dalam 105 perlawanan di Thailand. Mampukah Santo melakukan perkara yang sama di Malaysia?
2. Akhyar Rashid (JDT)
Pemain favourite Malaysia, Akhyar, 19 tahun, mendapat pujian dan sokongan ramai ketika menyarung jersi Harimau Malaya. Walaupun tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Tan Cheng Hoe, namun apabila Akhyar masuk sebagai pemain gantian, sorakan yang kuat dapat didengari di stadium.
Perpindahan Akhyar ataupun Mat Yat dari Kedah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin dipalit kontroversi namun apa yang pasti, semua tidak sabar untuk menyaksikan kelibat pemain itu bersama JDT, terutama sekali bergandingan dengan Safawi Rashid.
3. Firdaus Saiyadi (Perak)
Perak akhirnya menemui pemain yang terbaik untuk mengisi posisi sayap kanan iaitu Firdaus Saiyadi. Firdaus menyertai Perak pada pertengahan musim apabila kembali cergas untuk beraksi akibat masalah disiplin yang menyebabkannya sepi seketika dalam arena bola sepak tempatan.
Pemain itu menebus kembali kepercayaan kepada pasukannya dengan membantu skuad the Bos Gaurus itu memenangi Piala Malaysia 2018.
4. Anmar Almubaraki (Kedah)
Anmar Almubaraki, 27 tahun dibawa ke Kedah oleh jurulatih baharu pasukan itu, Aidil Sharin untuk menggantikan tempat Sandro Mendonca di posisi nombor 10.
Pemain kelahiran Iraq yang beraksi di Belanda sejak zaman remajanya bersama FC Twente itu kemungkinan terpaksa beraksi di posisi sayap kiri kerana skuad Lang Merah itu kehilangan Syazwan Zainal.
5. Safawi Rashid (JDT)
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mula beraksi untuk pasukan T-Team pada 2015 namun mula menyerlah selepas menyertai JDT pada 2017 dan sudah pasti empat gol dalam Sukan Asia 2018 dan dua gol dalam kelayakan Piala Asia 2019 menaikkan lagi reputasinya sebagai penyerang tempatan yang hebat.
Adakah pemain berusia 21 tahun itu bakal meneruskan kecemerlangan bersama JDT tahun ini?
6. Faiz Nasir (Selangor)
Faiz Nasir, 26 tahun menyertai Selangor untuk tahun ini dari Terengganu.
Playmaker kelahiran Kelantan itu diharap dapat mengakhiri kebergantungan skuad the Red Giants terhadap Amri Yahyah sudahpun sampai ke penghujung kerjayanya.
Gandingannya bersama Evan Dimas dijangka dapat membantu bahagian serangan dengan lebih baik musim ini.
7. Akram Mahinan (PKNS)
Akram Mahinan menyertai PKNS selepas beraksi semusim bersama Kedah.
Pemain berusia 25 tahun itu dikatakan pengganti terbaik untuk Romel Morales yang dicari oleh pengendali pasukan, Datuk K. Rajagobal yang membina asas pasukannya dengan pemain tengah yang teknikal dan yang mempunyai mental yang kuat.
8. Mohamadou Sumareh (Pahang)
Siapa tidak kenal dengan kebolehan pemain naturalisasi negara ini? Beraksi untuk Pahang sejak 2017, Sumareh sudahpun menjaringkan sembilan gol untuk skuad Tok Gajah.
Pemain kelahiran Gambia berusia 24 tahun itu dijangka terus menyerlah dalam kancah liga tempatan musim ini selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad kebangsaan tahun lepas.
9. Sanjar Shakhmedov (Terengganu)
Penghijrahan Faiz Nasir ke Selangor bakal menyaksikan Sanjar berganding dengan Lee Tuck di bahagian tengah skuad Terengganu.
Bekas pemain Lokomotiv Tashkent di Uzbekistan itu dipilih sebagai pemain terbaik pasukan itu tahun lalu, menjaringkan sembilan gol untuk dua musim bersama kelab itu.
10. Shukor Adan (Melaka United)
Shukor bakal mencecah usia 40 tahun pada September 2019, namun pengalamannya dikatakan dapat membantu skuad Melaka United yang tidak mempunyai ketua di bahagian pertahanan skuad Melaka United.
Persoalaannya kini mampukah Shukor melakukannya?
Nota: Artikel ini adalah penulisan bersama dengan Ian Johan Ariff dan Ketua Editor Semuanya Bola, Ahmad Muzammil.
#Akhyar Rashid
#Akram Mahinan
#Anmar Almubaraki
#Diogo Santo
#Faiz Nasir
#firdaus saiyadi
#JDT
#Liga Malaysia 2019
#Liga Super 2019
#Mohamadou Sumareh
#Safawi Rashid
#Sanjar Shakhmedov
#shukor adan